Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil melancarkan logo dan tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) di Esplanade, Taman KLCC pada 27 Mei 2023. Foto Facebook Fahmi Fadzil
AGENDANASIONAL

Tingkat pendapatan rakyat antara tumpuan tahun kedua Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR, 5 DIS: Kerajaan Perpaduan beriltizam meningkatkan pendapatan rakyat pada tahun kedua pentadbirannya tahun depan, kata Jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil.

Bercakap dalam program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV pagi ini, Menteri Komunikasi dan Digital itu berkata ia meliputi segenap sektor didorong landskap ekonomi yang semakin pulih dan stabil di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tahun pertama, secara amnya Kerajaan Perpaduan telah berjaya mengukuhkan kestabilan politik, ini asas yang sangat penting. Tidak ada perubahan kerajaan.

“Dengan adanya asas yang stabil ini, kita dapat umumkan beberapa dasar seperti Ekonomi Madani, Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), peralihan kepada tenaga hijau dan terbaharu Kertas Putih mengenai Dasar Gaji Progresif, meningkatkan gaji (penjawat awam) insya-Allah tahun depan..,” katanya.

Beliau berkata dengan terus mengekalkan Kerajaan Perpaduan, ia membantu meningkatkan kestabilan politik, keyakinan pelabur selain mengukuhkan ringgit.

Fahmi berkata pengunjung turut berpeluang membeli barang keperluan harian mereka di reruai Jualan Mega MADANI dan Jualan Rahmah selain membuat bayaran saman trafik di kaunter disediakan.

“Kita jangka lebih 100,000 atau menghampiri 200,000 pengunjung akan hadir pada Program Setahun Bersama Kerajaan Madani ini.

“Kita harap kehadiran pengunjung ini nanti, mereka akan pulang dengan kesedaran iaitu Kerajaan Madani sudah berjaya melakukan banyak perkara asas dalam tempoh satu tahun pentadbiran,” katanya.

Beliau berkata ia termasuklah mengangkat nama Malaysia ke mata dunia terutamanya dalam pendirian berkaitan penindasan terhadap rakyat Palestin selain usaha berterusan dalam aspek menstruktur semula ekonomi, memperkasakan ekonomi digital dan mengawal harga barang dalam memastikan negara kembali ‘mengaum’ sebagai Harimau Asia.

Fahmi berkata mereka yang ingin berkunjung pada program bermula Jumaat ini boleh merancang perjalanan sama ada menaiki kenderaan sendiri, menggunakan kemudahan bas ulang-alik (shuttle bus) atau Transit Aliran Ringan (LRT).

-BERNAMA


Pengarang :