EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu bersama pemohon yang berjaya menerima dokumen pengenalan diri selepas sidang media Kewarganegaraan Rakyat, MySel Bantu di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri pada 5 Disember 2023. Foto SHEEDAFATHIL/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

MySel bantu selesai lebih 2,200 kes berkaitan dokumen pengenalan diri

SHAH ALAM, 5 DIS: Sebanyak 2,259 daripada 4,834 permohonan Program Pusat Dokumen Pengenalan Diri MySel (Unit MySel) berjaya diselesaikan sejak 2018 hingga bulan ini.

EXCO pembasmian kemiskinan berkata jumlah itu membabitkan kategori kes meliputi anak angkat (910); sijil kelahiran (400) dan warganegara (312), kad pengenalan merah (238); imigresen (80) dan baki lain-lain kes.

Menurut V Papparaidu kelulusan permohonan tertinggi diberikan kepada kaum Melayu dengan 38 peratus, Cina (30.5 peratus), India (27 peratus) dan lain-lain (4.5 peratus).


EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu bercakap kepada media mengenai Kewarganegaraan Rakyat, MySel Bantu di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri pada 5 Disember 2023. Foto SHEEDAFATHIL/SELANGORKINI

“Unit MySel mula bergerak secara aktif pada 2016 bertujuan membantu masyarakat miskin yang tiada maklumat atau saluran tepat bagi mendapatkan dokumen peribadi secara sah.

“Ia termasuk membantu menyelesaikan masalah anak yang tidak memiliki surat beranak akibat perkahwinan di sempadan termasuk kegagalan ibu bapa atas sebab-sebab tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Kewarganegaraan Rakyat, MySel Bantu di Pejabat EXCO, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Papparaidu menjelaskan antara faktor kepada masalah itu adalah disebabkan ekonomi ibu bapa atau penjaga termasuk ada segelintir individu mengambil mudah tanggungjawab mendaftar keahlian anak mereka.


EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu ketika sidang media Kewarganegaraan Rakyat, MySel Bantu di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri pada 5 Disember 2023. Foto SHEEDAFATHIL/SELANGORKINI

Punca lain katanya, hasil hubungan tidak sah, tiada pendaftaran bagi pemeriksaan ketika hamil, tiada sokongan keluarga atau proses dokumentasi merumitkan.

“Hasil permohonan ini individu berkenaan dapat membina kehidupan baharu tanpa wujudnya pandangan prejudis masyarakat.

“Program ini juga sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk memastikan setiap rakyat di Selangor dapat menikmati manfaat dalam program Iltizam Selangor Penyayang mengikut kelayakan masing-masing,” katanya.


Pengarang :