Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan (dua dari kanan) menunjukan pemasangan papan tanda larangan laluan kenderaan berat di Jalan Mutiara, Bandar Bukit Mahkota pada 5 Disember 2023. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI
ADNAGENSISELANGOR

Palang had ketinggian atasi jalan rosak akibat kenderaan berat

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

KAJANG, 5 DIS: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) memasang palang had ketinggian di Jalan Mutiara, Bandar Bukit Mahkota di sini bagi menghalang lori lebihan muatan menggunakan laluan tersebut.

Wakil rakyat Hulu Langat berkata pembinaan palang setinggi 2.8 meter juga membantu mengatasi isu kerosakan jalan akibat struktur lapisan asas tapak yang lemah dan tekanan tinggi kenderaan berat.

“Kita menerima banyak aduan termasuk isu kerosakan jalan raya di kawasan ini berikutan kenderaan perdagangan (lori lebihan muatan) yang menggunakan laluan sekitar Bandar Bukit Mahkota.

“Justeru, pemasangan palang pada kedua-dua arah (sebelum ini satu sahaja) mampu menghalang lori lebihan muatan menggunakan laluan ke kawasan perindustrian Nilai 3,” kata Mohd Sany Hamzan.

Beliau ditemui selepas melawat kawasan itu bersama Ahli Dewan Negeri Dusun Tua Datuk Johan Abdul Aziz dan Timbalan Pengarah Jabatan Kejuruteraan MPKj Norlaily Rahman.

Sementara itu, Norlaily berkata kos pemasangan palang, turapan jalan sepanjang 300 meter dan pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan menelan kos RM884,000.

Jelasnya, MPKj turut menerima kelulusan negeri bagi mewartakan Perintah Lalulintas Jalan (melarang kenderaan berat) di laluan utama Jalan Persiaran Mahkota 1 dan 2 pada 12 Julai.

Pada Februari lalu, Jabatan Kejuruteraan MPKj mengenal pasti beberapa faktor kerosakan jalan di kawasan itu antaranya disebabkan kenderaan lebih muatan yang menggunakan laluan terbabit.

Menurut Pengarah Unit Perancangan Koprat dan Perhubungan Awamnya Kamarul Izlan Sulaiman, sebahagian penutup longkang juga dikesan tersumbat dan tidak berfungsi dengan baik.


Pengarang :