Orang ramai mengalunkan bacaan qasidah pada majlis Darul Ehsan Berselawat 2.0 yang berlangsung di Stadium Tertutup Malawati Shah Alam pada 29 Julai 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Program selawat negeri diteruskan tahun depan, jelajah sembilan daerah

SHAH ALAM, 5 DIS: Program Darul Ehsan Berselawat anjuran Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) diteruskan tahun hadapan dengan menjelajah ke sembilan daerah.

Yang Dipertuanya Datin Seri Masdiana Muhamad berkata hasrat memperluaskan program yang dijangka bermula Mac itu bertujuan menerapkan amalan zikir dan selawat dalam kalangan orang Islam.

“Program Pekawanis ini dianjur dengan kerjasama Pejabat Menteri Besar. Kita tidak mahu hanya anjur di Shah Alam sahaja, lebih elok jika program selawat ini dianjur ke daerah-daerah.

“Di daerah lain juga terdapat sekolah agama dan qasidah-qasidah Melayu terutama di Sabak Bernam dan Kuala Selangor. Ini masanya kita bertemu mereka selain mahu mengangkat qasidah Melayu yang lebih mudah difahami serta dihayati,” katanya.

Beliau ditemui selepas hadir ke sesi Tanya Apa Saja di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2023 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini, hari ini.

Program Darul Ehsan Berselawat dianjurkan kali pertama pada 14 Januari 2023 pekarangan Stadium Shah Alam dan disertai lebih 10,000 umat Islam.

Susulan sambutan masyarakat Islam, program itu dianjur kali kedua pada 30 Julai di Stadium Tertutup Malawati Shah Alam.

Dalam perkembangan lain, Masdiana berkata sejumlah RM287,000 diperuntuk kepada 1,230 penerima di 41 Dewan Undangan Negeri (DUN) sempena sambutan Deepavali baru-baru ini.

“Setiap penerima mendapat sumbangan RM200 bagi meringankan beban mereka untuk menyambut Deepavali. Kita juga beri sumbangan untuk Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina.

“Selain itu, sumbangan turut diagihkan untuk program kembali ke sekolah dan mendekati pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan,” katanya..

 


Pengarang :