Orang ramai berbelanja di Jualan Ehsan Rahmah (JER) di pasar raya Segi Fresh Telok Panglima Garang pada 30 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jualan murah di sembilan cawangan Segi Fresh esok, Sabtu dan Ahad

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 6 DIS: Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan berlangsung di sembilan cawangan pasaraya Segi Fresh pada 7, 9 dan 10 Disember.

Menurut Facebook Segi Fresh, jualan berlangsung cawangan Subang esok diikuti Kuala Kubu Bharu, Tanjung Karang, Sungai Udang, Sungai Tua dan Ijok pada Sabtu.

JER-Kasih Sayang Segi Fresh turut diadakan di cawangan Jalan Kebun, Jernang Jaya dan Setia Mayuri pada Ahad.

“Bersama PKPS, kami bekerjasama dalam misi memberikan manfaat kepada yang memerlukan terutama golongan berpendapatan rendah berikutan kenaikan kos sara hidup.

“Dapatkan barangan keperluan asas yang murah dan berkualiti di Segi Fresh,” katanya.

Produk ditawarkan antaranya ayam mentah RM6.99 sekilogram, daging kiub (RM10/pek), siakap (RM7 seekor), telur gred D (RM10 sepapan), tepung gandum (RM2/pek) dan minyak masak 5kg (RM25).

Kerajaan Selangor membelanjakan subsidi RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di 2,850 lokasi yang memanfaatkan lebih lima juta rakyat sehingga kini.


Pengarang :