Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika menghadiri sidang pertama Istiadat Konvokesyen ke-13 Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di Pusat Dagangan Dunia pada 6 Disember 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Malaysia tolak keganasan dalam konflik bersenjata seluruh dunia

KUALA LUMPUR, 6 DIS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah Malaysia menolak segala bentuk keganasan dalam konflik bersenjata yang berlaku di pelbagai pelosok dunia ketika ini.

Seri Paduka bertitah keganasan itu termasuk pengeboman terhadap orang awam, hospital dan sekolah, serta pemotongan bekalan air, elektrik dan makanan kepada orang awam.

“Sebagai sebuah negara yang berdaulat dan merdeka, menjadi tanggungjawab kita untuk menolak bentuk keganasan yang bertentangan dengan norma kemanusiaan antarabangsa. Barisan kepimpinan termasuk pemimpin dalam bidang keselamatan dan pertahanan hendaklah berpegang teguh kepada prinsip keamanan dan kemanusiaan sejagat.

“Beta khuatir, jika kita tidak menerapkan prinsip itu mulai sekarang, nescaya sebarang pertikaian pada masa hadapan akan berakhir dengan konflik bersenjata yang mengetepikan segala bentuk rasional kemanusiaan,” titah Yang di-Pertuan Agong.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen ke-13 Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.

-BERNAMA


Pengarang :