Ilustrasi tangkapan penjenayah. Grafik Media Selangor
AGENDANASIONAL

Polis tahan tiga sekawan kes tikam warga emas 27 kali

GEORGE TOWN, 6 DIS: Polis menahan dua lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kejadian lelaki warga emas maut ditikam sebanyak 27 kali di seluruh badan dalam kejadian di kawasan parkir sebuah apartmen di Jalan Perak, di sini semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt V.Saravanan berkata tiga individu berusia 29 hingga 42 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar Jelutong kira-kira 7.30 malam semalam.

“Tiga suspek yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu adalah kawan rapat kepada lelaki warga emas yang maut dalam insiden tikaman tersebut.

“Motif siasatan masih dijalankan dan ketiga-tiga individu itu kini direman selama tiga hari sehingga 8 Disember ini bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut,” katanya di sini hari ini.

Saravanan berkata siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh dan beliau turut meminta kerjasama orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berhubung insiden itu agar menghubungi pihak polis.

Dalam kejadian 6.18 petang itu, mangsa berusia 60-an yang merupakan peniaga kedai nasi ekonomi ditikam bertubi-tubi pada seluruh badan terutama di leher dan dada sebelum meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Berdasarkan siasatan awal, suspek dipercayai dua lelaki yang menaiki motosikal ke tempat kejadian dan polis menolak insiden itu sebagai samun kerana barangan berharga termasuk duit masih bersama mangsa.

-BERNAMA


Pengarang :