AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Buku riwayat Rasulullah terus laris, lebih 10,000 naskhah terjual

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 6 DIS: Naskhah riwayat Rasulullah terus mengungguli carta terlaris Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) sepanjang lima hari penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2023.

Buku berjudul Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal terjemahan Martin Lings menerima sambutan hangat dengan lebih 10,000 naskhah terjual sejak 1 Disember.

Menurut Facebook IBDE, buku genre sejarah turut menjadi pilihan pengunjung antaranya Gelagat dan Ragam Orang Melayu oleh Frank Swettenham serta Sejarah Selangor oleh J.M Gullick.

“Tidak ketinggalan buku Republik Marga Satwa terjemahan Animal Farm tulisan paling terkenal George Orwell dan Salahuddin Al-Ayubi Raja Penakluk (John Man),” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan buku terjemahan penting dan bermutu di reruai IBDE bernombor P36 dan H17 di dewan utama aras 1, Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam.

SIBF 2023 anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) berlangsung sehingga 10 Disember dari 9 pagi hingga 9 malam dengan pelbagai acara menarik menanti pengunjung.

Julung kali diadakan tahun lalu, pesta tersebut kesinambungan daripada Pesta Buku Selangor yang dianjurkan selama 16 tahun sejak 2006.


Pengarang :