Pengunjung mengimbas kod QR Platform Selangor (PLATS) untuk menebus RM5 yang diberi percuma kepada pengunjung ketika program Plats Masuk Pasar di pasar malam Setia Taipan, Shah Alam pada 7 Disember 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kupon PLATS bantu tambah jualan peniaga, mudahkan urusan pembeli

SHAH ALAM, 8 DIS: Kupon Digital Rahmah bernilai RM5 yang diedar sempena Kempen Platform Selangor (PLATS) membantu meningkatkan jualan peniaga pasar malam Setia Taipan, di sini.

Peniaga air balang Mohd Hairi Mat Haris, 34, berkata aplikasi yang diperkenal pentadbiran negeri memudahkan orang ramai, sekali gus membantu lebih banyak pengunjung membeli di gerainya.

Peniaga Mohd Hairi Mat Haris, 34 , menunjukkan kod QR Platform Selangor (PLATS) untuk menebus RM5 yang diberi percuma kepada pengunjung di pasar malam Setia Taipan, Shah Alam pada 7 Disember 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya tengok ramai pelanggan sudah ada PLATS, jadi ia memudahkan mereka untuk beli. Syukur kerana ia menjadi asbab ramai yang datang membeli hari ini,” katanya kepada Selangorkini.

Sementara itu, peniaga makanan bergoreng Muhd Rahmat Md Salim, 26, mengakui tidak mengetahui berkenaan PLATS sehingga dikunjungi wakil agensi berkenaan, baru-baru ini.

“Sebelum ini memang tidak tahu langsung mengenai PLATS tetapi selepas dimaklumkan baru saya tahu ia membantu jualan peniaga kecil seperti saya.

“Saya baru seminggu menggunakan aplikasi ini. Setakat ini mungkin saya akan teruskan penggunaan PLATS kerana melihat sambutan yang baik,” katanya.

Semalam, sebanyak 2,000 kupon digital diedarkan kepada pengunjung sempena Kempen PLATS Masuk Pasar, yang disempurnakan EXCO Pemberdayaan Usahawan Najwan Halimi.

Turut hadir Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) Ahmad Azri Zainal Nor dan pemangku Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam Ir Cheremi Tarman.

Kempen PLATS Masuk Pasar diadakan selama dua bulan bermula 19 November di 12 lokasi terpilih seluruh negeri dengan 20,000 Kupon Digital Rahmah bernilai RM5 diedar kepada pengunjung.


Pengarang :