Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ditemui media selepas melancarkan penjenamaan identiti korporat Kumpulan Hartanah Selangor Berhad di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 8 Disember 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Negeri beri sokongan moral, tunggu siasatan kes Zayn Rayyan selesai

SHAH ALAM, 8 DIS: Bantuan sokongan moral dan psikologi akan diberikan kepada keluarga kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matin, yang ditemui meninggal dunia, malam kelmarin.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara tersebut dibuat sebaik siasatan polis selesai berikutan kes terbabit diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

“Ada perkembangan baharu semalam selain kes itu melibatkan kemalangan, ada tanda-tanda kematian Zayn disebabkan bunuh. Saya rasa biar polis selesaikan tugas sebelum kita melihat situasi untuk membantu mereka yang memerlukan terutama ibu bapa kanak-kanak itu.

“Sudah pasti Kerajaan Negeri akan memberikan sokongan padu kepada keluarga (arwah) terutama daripada segi moral dan psikologi,” katanya ditemui dalam sebuah program di sini hari ini.

Amirudin menambah pentadbiran negeri memandang serius kes terbabit kerana melibatkan nyawa kanak-kanak tidak bersalah dan enggan mengganggu tatacara siasatan.

Rabu lalu, kanak-kanak lelaki berusia enam tahun itu ditemukan di aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai.

Malam tadi, pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman berkata bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan leher, berkemungkinan besar dicekik atau dijerut.

Menurut Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, mangsa bukan meninggal dunia di lokasi mayatnya ditemui dan tidak menolak kemungkinan suspek adalah penduduk setempat di tempat kejadian.


Pengarang :