Pengunjung mengikuti program syarikat yang menyertai karnival kerjaya sempena Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil pada 9 Disember 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

5,000 peluang kerja di karnival kerjaya program setahun bersama kerajaan Madani

KUALA LUMPUR, 9 DIS: Karnival Kerjaya yang diadakan sempena Program Setahun Bersama Kerajaan Madani selama tiga hari di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, bermula semalam, platfrom terbaik dalam menghubungkan pencari kerja dan majikan.

Eemansyah Tan, 33, dari Petaling Jaya, Selangor berkata penganjuran karnival kerjaya itu menjadi peluang terbaik bagi pencari kerja sepertinya yang bergelut mencari peluang pekerjaan selepas diberhentikan akibat pandemik Covid-19, dua tahun lalu.

“Sebelum ini, saya terlibat dalam industri penerbangan selama 11 tahun. Selepas diberhentikan, saya menjadi pemandu e-panggilan bagi menampung hidup sebelum mendapat kerja yang lebih stabil.

“Sekarang, saya rasa dunia penerbangan tidak lagi sesuai, jadi saya ingin mencuba nasib dalam bidang perhotelan pula,” katanya ketika ditemui di khemah khas Karnival Kerja di sini hari ini.

Pencari kerja dari Sepang, Selangor, Muhd Hadri Sadiq Jefry, 30, berkata peluang menghadiri karnival kerjaya adalah perkara yang dinanti-nantikan selepas berhenti kerja bulan lepas.

“Saya mahu mencari peluang baru. Tak kisahlah kerja apapun, saya tak kisah luar bidang pun boleh, saya nak ubah nasib dan cari kerja baharu,” katanya yang juga bekas juruteknik di sebuah syarikat penerbangan.

Sementara itu Pembantu Pengurus Sumber Manusia dan Pentadbir Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur Enny Jasmin Abdul Rahman berkata ia adalah platform terbaik buat majikan dalam mencari calon sesuai.

“Kami menawarkan lapan jawatan kosong antaranya untuk bahagian Front Office dan Food and Beverage (F&B). Kami menjangkakan menerima 150 hingga 200 penyertaan daripada pencari kerja sepanjang tiga hari karnival ini berlangsung,” katanya.

Pengurus Program Vahtiqa Resources Sdn Bhd Nur Atiqah Ridzuan, 28, pula berkata pihaknya yang berperanan sebagai penyedia latihan mencari syarikat bersesuaian untuk pelatih mereka menjalani latihan industri dan bekerja.

“Alhamdulillah, bila saya berjumpa syarikat (terlibat) dalam karnival kerjaya ini, saya terima maklum balas positif dan agak terkejut kerana sambutan daripada orang ramai sangat menggalakkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Negeri Perkhidmatan Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Fadlina Adam berkata lebih 60 majikan dengan 5,000 peluang pekerjaan ditawarkan kepada semua pencari kerja di Lembah Klang.

“Ini adalah antara karnival kerjaya terbesar yang dianjurkan sebelum berakhirnya 2023. Jadi, buat semua pencari kerja, datanglah beramai-ramai, mana tahu ada rezeki nanti,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :