SHAH ALAM, 10 DIS: Seramai 97 individu bakal dikurnia darjah dan bintang kebesaran Selangor sempena Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ke-78.
Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim berkata senarai pencalonan disenarai pendek Jawatankuasa Khas dan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Dewan di-Raja pada 5 Oktober lalu.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2022/10/P_MaulidurRasulDYMM4-500x333.jpg)
“Senarai pencalonan ini juga menerima perkenan DYMM Sultan Selangor selepas baginda berunding dengan Dewan di-Raja.
“Semua calon yang disenarai pendek juga melepasi tapisan polis, Jabatan Insolvensi dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya menerusi kenyataan.
Haris menambah seramai 2,762 pencalonan diterima iaitu 1,032 individu bagi darjah dan bintang kebesaran manakala 1,730 pula dicalonkan bagi pingat negeri Selangor.
Jelasnya, Kerajaan Negeri menawarkan pencalonan darjah dan bintang kebesaran serta pingat itu bermula pada 16 Jun sehingga 16 Ogos 2023.