Peserta berpakaian tradisional selepas majlis perasmian Karnival Ban Canal 2023 di Parit 14, Sabak Bernam pada 10 Disember 2023. Foto: FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

10,000 pengunjung meriahkan Karnival Ban Canal, pacu ekonomi pembangunan Sabak Bernam

SABAK BERNAM, 10 DIS: Lebih 10,000 pengunjung memeriahkan Karnival Ban Canal sepanjang tiga hari aktiviti itu berlangsung bermula Jumaat hingga hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu merupakan sebahagian daripada inisiatif mempromosi Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) yang dijangka beroperasi 2025.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada Majlis Perasmian Karnival Ban Canal 2023 di Parit 14, Sabak Bernam pada 10 Disember 2023. Foto: FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Karnival tiga hari ini mempamerkan identiti tempatan, penjagaan alam sekitar dan wawasan yang dikongsi bersama demi kelestarian masa depan.

“Pembangunan SABDA tidak hanya tertumpu kepada usaha menarik pelaburan besar bagi memacu ekonomi baharu sahaja, sebaliknya ia turut mendalami aktiviti bagi membina kehidupan masyarakat di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Ban Canal di Parit 14, Simpang Lima di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat acara perahu tradisional di Karnival Ban Canal 2023 di Parit 14, Sabak Bernam pada 10 Disember 2023. Foto: FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Diiktiraf sebagai zon ekonomi utama di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1), Amirudin berkata inisiatif SABDA yang dipacu Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bertujuan memastikan keterjaminan makanan Selangor dengan menyokong projek pertanian di Sabak Bernam.

“SABDA turut menumpukan kepada pembangunan industri perikanan di daerah ini termasuk pengeluaran produk hiliran makanan laut selain mempromosikan ekopelancongan akuakultur dan pertanian dengan impak minimum terhadap alam sekitar,” katanya.

Acara perahu tradisional antara aktiviti yang diadakan di Karnival Ban Canal 2023 di Parit 14, Sabak Bernam pada 10 Disember 2023. Foto: FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Terdahulu, karnival anjuran SABDA, Persatuan Kanu Selangor serta Majlis Daerah Sabak Bernam bertujuan memperkenal ban canal sebagai destinasi ekopelancongan dan akan dijadikan acara tahunan.

Pelbagai aktiviti menarik antaranya pertandingan kayak, maraton kayak, reka cipta bot, sukan rakyat seperti lumba perahu, tarik perahu dan rakit berhias.

Turut diadakan pertandingan larian bendang, aktiviti mendaki tembok tiruan, ‘flying fox’, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak Tadika Kemas dan sesi bertemu pasukan utama Selangor FC.

Peserta larian bendang berpakaian tradisional di Karnival Ban Canal 2023 di Parit 14, Sabak Bernam pada 10 Disember 2023. Foto: FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :