Ribuan pengunjung hadir di Stadium Nasional Bukit Jalil pada hari terakhir Program Setahun Bersama Kerajaan Madani pada 10 Disember 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Operasi kaunter saman trafik program kerajaan Madani dilanjut hingga 9 malam ini

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Polis Diraja Malaysia sekali lagi melanjutkan tempoh operasi kaunter diskaun saman trafik yang dibuka bersempena dengan Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil hingga 9 malam ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasan Trafik Bukit Aman Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata langkah itu susulan sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang berkunjung ke program berkenaan memasuki hari terakhir hari ini.

“Seperti biasa, 14 kaunter saman trafik dibuka hari ini dan ada anggota polis trafik yang bertugas boleh membantu mempermudah urusan orang ramai membayar saman,” katanya hari ini.

Kelmarin operasi kaunter diskaun saman dibuka pada 9 pagi hingga 4 petang, bagaimanapun disebabkan orang ramai berpusu-pusu ingin membayar saman trafik dengan diskaun 50 peratus, operasi kaunter itu semalam dilanjutkan hingga 9 malam.

Sementara itu, tinjauan di kaunter bayaran saman trafik mendapati ribuan pengunjung yang datang seawal 7 pagi beratur panjang untuk membayar saman sambil dibantu anggota polis trafik.

Pekerja sektor swasta Abu Bakar Omar, 45, berkata dia sanggup datang dari Ayer Keroh, Melaka, semata-mata untuk mendapatkan diskaun bayaran saman.

“Saya dapat maklumat hanya di Bukit Jalil sahaja dapat boleh dapat diskaun saman dan tidak di tempat lain. Saya bergerak dari Ayer Keroh kira-kira 5 pagi untuk ke Bukit Jalil,” katanya.

Mahasiwa sebuah universiti awam, Ahmad Daniel Mohd Ali, 24, berkata dia juga mengambil peluang hari cuti hari ini untuk mendapatkan diskaun saman.

“Peluang sedemikian mungkin tidak dapat lagi dan hanya boleh didapati apabila ada program kerajaan,” katanya.

Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil selama tiga hari mulai Jumaat, memberi fokus kepada tiga komponen iaitu Showcase Pencapaian Setahun Kerajaan Madani, perkhidmatan touchpoint rakyat dan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat.

Kemuncak program itu merupakan majlis penutup yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim petang ini.

– BERNAMA


Pengarang :