Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada Majlis Perasmian Karnival Ban Canal 2023 di Parit 14, Sabak Bernam pada 10 Disember 2023. Foto: FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Negeri sedia tubuh semula jawatankuasa keselamatan tangani Covid-19

SABAK BERNAM, 10 DIS: Kerajaan Selangor bersedia meneliti untuk menubuhkan semula Jawatankuasa Keselamatan bagi menangani Covid-19 sekiranya berlaku peningkatan kes pandemik itu di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar bagaimanapun berkata situasi Covid-19 di Selangor setakat ini masih terkawal namun pihaknya menerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam Selangor (SELPHAC) sentiasa memantau situasi pandemik itu dari semasa ke semasa.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, Kerajaan Negeri juga sedang menunggu data dan maklumat terkini daripada Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung jumlah kes yang direkodkan.

“Kita sedar berlakunya peningkatan kes (Covid-19) di Selangor tetapi angka itu melibatkan gandaan jumlah kes.

Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Kajang di Dewan Sri Cempaka Saujana Impian, Kajang pada 26 Julai 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKIN

“Jika ada keperluan, kita akan tubuh semula jawatankuasa keselamatan khas yang ditutup sebelum ini bagi menangani Covid-19,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Ban Canal 2023 di Parit 14, Simpang Lima di sini hari ini.

Amirudin turut menasihatkan individu yang dijangkiti Covid-19 supaya mengasingkan diri dan mengambil langkah berjaga-jaga.

“Kita tidak pernah memandang rendah terhadap peningkatan kes yang berlaku selain akan menjadikan pengalaman lepas sebagai pengajaran untuk menangani kes ini.

“Justeru, saya menasihatkan individu bergejala dan dijangkiti Covid-19 supaya mengasingkan diri bagi memastikan pandemik ini tidak menular,” katanya.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Amirudin Shari ketika berucap pada majlis pelancaran Selangor Public Health Advisory Council (Selphac) dan Apresiasi Petugas Barisan Hadapan di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 7 Jun 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan memaklumkan 3,626 kes dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-47 iaitu dari 19 hingga 25 November lalu.

Jumlah itu meningkat 57.3 peratus berbanding 2,305 kes yang direkodkan pada minggu sebelumnya dan Selangor menjadi negeri tertinggi setakat ini.


Pengarang :