Orang ramai berbelanja pada Jualan Ehsan Rahmah (JER) di pasar raya Segi Fresh Teluk Panglima Garang pada 30 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jualan murah barangan asas di empat cawangan Segi Fresh esok

SHAH ALAM, 15 DIS: Jualan Ehsan Rahmah (JER) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan berlangsung di enam cawangan pasaraya Segi Fresh pada hujung minggu ini.

Menurut Facebook Segi Fresh, jualan barangan dapur pada harga murah diadakan di cawangan Bandar Tasik Puteri, Puncak Alam, Pekan Salak dan Pulau Indah pada esok.

JER Kasih Sayang Segi Fresh diteruskan ke cawangan Kuala Selangor dan Gombak pada Ahad.

“Bersama PKPS, kami bekerjasama dalam misi memberikan manfaat kepada yang memerlukan terutama golongan berpendapatan rendah berikutan kenaikan kos sara hidup.

“Dapatkan barangan keperluan asas yang murah dan berkualiti di Segi Fresh,” katanya.

Produk ditawarkan antaranya ayam mentah RM6.99 sekilogram, daging kiub (RM10/pek), siakap (RM7 seekor), telur gred D (RM10 sepapan), tepung gandum (RM2/pek) dan minyak masak 5kg (RM25).

Kerajaan Selangor membelanjakan subsidi RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di 2,850 lokasi yang memanfaatkan lebih lima juta rakyat sehingga kini.

Selain menganjurkan jualan murah di lokasi terpilih pada setiap hari kecuali Jumaat dan cuti umum, PKPS turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Segi Fresh bagi memperluas capaian kepada penduduk setempat.

PKPS juga pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :