Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung (tiga,kiri) melakukan gimik perasmian pelepasan peserta sempena Pertandingan Kebangsaan Larian Menara MBPJ 2023 di Menara Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya pada 17 Disember 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Larian Menara MBPJ, peserta cilik naik 552 anak tangga tempoh empat minit

PETALING JAYA, 17 DIS: Seorang kanak-kanak sanggup bangun seawal jam 5 pagi untuk menyertai Pertandingan Kebangsaan Larian Menara Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) 2023 di sini, hari ini.

Shahid Al Zahran Mohd Saddam, 7, yang juga satu-satunya peserta cilik dalam acara tersebut berjaya menamatkan larian sebanyak 552 anak tangga itu dalam tempoh empat minit.

Menurut bapanya, Mohd Saddam Mohd Pittli, 32, anak sulung daripada tiga beradik itu meminati bidang sukan terutamanya larian seawal umur dua tahun.

Peserta cilik Shahid Al Zahran Mohd Saddam 7 bersama bapanya Mohd Saddam Mohd Pittli 32 ketika ditemubual pihak media selepas Pertandingan Kebangsaan Larian Menara MBPJ 2023 di Menara Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya pada 17 Disember 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Saya sudah latih dia sejak umur dua tahun. Saya pun tidak sangka dia minat dalam larian seperti saya. Cita-citanya juga mahu menjadi ahli sukan suatu hari nanti,” katanya yang juga atlet negara dalam acara larian berhalangan.

Sementara itu, atlet nombor satu dunia larian tangga, Soh Wai Ching menepati ramalan apabila berjaya memenangi tempat pertama bagi kategori Kebangsaan dan Terbuka Lelaki.

Wai Ching, 29, menamatkan larian dengan masa 1 minit dan 57 saat sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM2,000 dan plak cenderamata.

Pemenang keseluruhan kategori Lelaki Terbuka dan Kebangsaan, Soh Wai Ching 29 bercakap kepada media selepas Pertandingan Kebangsaan Larian Menara MBPJ 2023 di Menara Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya pada 17 Disember 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Cabaran ini agak sukar kerana setiap peserta perlu mencatatkan masa terpantas dan ada tiga pusingan yang perlu dihabiskan, berbanding pertandingan lain yang hanya ada satu pusingan sahaja.

“Saingan juga agak kuat terutamanya dari peserta luar negara. Saya anak tempatan, dan saya perlu pastikan kemenangan ini milik negara kerana saya mahu harumkan nama Malaysia,” katanya.

Anak kelahiran Petaling Jaya ini juga menyasar untuk memecahkan rekod dunia dalam acara larian tangga di Bangunan Berkembar KLCC tahun depan selain menyertai Larian Tangga Dunia di Taipei 101, Taiwan.

Terdahulu, seramai 350 peserta tempatan dan antarabangsa menyertai pertandingan larian menara MBPJ yang julung kali diadakan dengan kerjasama Persatuan Larian Menara Malaysia (PLMM).

Peserta larian Soh Wai Ching ketika Pertandingan Kebangsaan Larian Menara MBPJ 2023 di Menara Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya pada 17 Disember 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :