AGENDANASIONAL

Bomba selamatkan wanita kurang siuman cuba terjun tangki air

IPOH, 17 DIS: Seorang wanita berjaya diselamatkan anggota bomba ketika dipercayai cuba bertindak terjun dari tangki air di Pasar Awam Bagan Serai di Kerian, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan pada 2.37 petang sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai tiba di lokasi kejadian tiga minit kemudian.

“Setibanya anggota di lokasi didapati seorang wanita dipercayai kurang siuman berusia 39 tahun berada di bahagian atas tangki air dengan anggaran ketinggian kira-kira enam tingkat bangunan.

“Ketua operasi bertindak membantu memujuk dan membawa turun mangsa seterusnya menyerahkan mangsa kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sabarodzi berkata operasi berkenaan tamat sepenuhnya pada 4 petang.

– BERNAMA


Pengarang :