Gimik perasmian program Createpreneur Finale 2023 yang dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PREC Fakru Radzi Ab Ghani (dua, kiri) dan Penolong Naib Canselor Akademi PKS dan MASMED Prof Dr Salmiah Kasolang (dua, kanan) di SACC Mall pada 20 Disember 2023. Foto SHEEDAFATHIL/ SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

10,000 dijangka hadir meriahkan program keusahawanan UiTM, PREC

SHAH ALAM, 20 DIS: Seramai 10,000 pengunjung dianggarkan hadir memeriahkan program keusahawanan Createpreneur Finale 2023 anjuran Akademi PKS dan Pembangunan Keusahawanan Malaysia (MASMED), Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Penolong Naib Canselor Akademi PKS dan MASMED berkata program kerjasama PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) itu berlangsung mulai hari ini sehingga 23 Disember di SACC Mall di sini.

Menurut Prof Dr Salmiah Kasolang program itu bertujuan menyokong misi utama MASMED dalam membangunkan minda keusahawanan khususnya kepada pelajar supaya lebih bersedia dalam menghadapi cabaran masa kini.

“Program ini juga merupakan platform kepada pelajar dan alumni UiTM untuk memasarkan produk serta jenama mereka secara fizikal sekali gus menyokong pembudayaan keusahawanan dalam kalangan bumiputera.

“Program kali ke-12 ini juga kita memfokuskan kepada bidang keusahawanan “Fitness & Well-being” bagi menggalakkan perkembangan kesihatan dan gaya hidup cergas dalam kalangan usahawan dan masyarakat,” katanya selepas merasmikan program berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PREC Fakru Radzi Ab Ghani turut mengucapkan terima kasih kepada UiTM kerana menganjurkan program tersebut dan berharap kerjasama ini diperluaskan lagi pada masa hadapan.

“Tema Createpreneur edisi ke-12 ini amat signifikan dan dapat meningkatkan pengetahuan dalam dunia kesihatan dan kecergasan sekali gus meransang minda positif ke arah pembentukan keusahawanan.

“Semoga kerja keras dan tenaga yang diberikan untuk acara gemilang ini berbaloi dan akan disertai dengan banyak pencapaian menarik dan cemerlang,” ujarnya.

Terdahulu, kira-kira 400 pelajar UiTM terlibat sebagai peserta dan juga usahawan bagi program tersebut termasuk sebanyak 42 reruai dibuka yang memasarkan produk kesihatan kecantikan dan makanan serta minuman.


Pengarang :