TANJUNG MALIM, 21 DIS: Selangor menyokong keputusan Kerajaan menyekat dan tidak membenarkan syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, ZIM daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keputusan itu membuktikan bahawa Kerajaan Perpaduan konsisten dalam memberi sokongan dan solidariti kepada Palestin.
“Keputusan ini adalah satu konsistensi perdana menteri dan pentadbiran Malaysia yang wajar diberi perhatian. Kita bertindak selepas melihat keadaan tidak berubah di Timur Tengah, di Gaza.
“Saya percaya langkah ini usaha berani dan wajar mendapat sokongan sebab konsistensi serta keputusan sikap dalam memberi sokongan pada sahabat di Palestin,” katanya
Beliau ditemui pada Anugerah Buku Negara 2023 di Dewan Tuanku Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini hari ini selepas menerima Anugerah Perdana Tokoh Kepimpinan Muda Cemerlang Dalam Memartabatkan Pembangunan Buku Negara yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/12/PM2-1-500x323.jpg.webp)
Semalam, menerusi kenyataan Anwar memaklumkan Kerajaan memutuskan untuk menyekat dan tidak membenarkan syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, ZIM daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia berkuatkuasa serta merta.
Tegas beliau, Kementerian Pengangkutan akan bertindak segera dengan mengenakan larangan kekal terhadap syarikat itu.
Katanya, sekatan itu tindak balas terhadap Israel yang mengenepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan terhadap Palestin.