1,101 warga asing kebanyakannya warga Bangladesh, Nepal dan Myanmar ditahan Polis Diraja Malaysia dalam operasi di Jalan Silang, Kuala Lumpur pada 14 Disember 2023. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pemilik premis sewa lesen, gaji pendatang berdepan tindakan penguatkuasaan

PUTRAJAYA, 23 DIS: Semua pemilik premis perniagaan di Kuala Lumpur diingatkan mematuhi segala peraturan khususnya melibatkan pekerja asing, yang ditetapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mengelakkan risiko penarikan atau penggantungan lesen perniagaan masing-masing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata beliau mengarahkan DBKL melakukan pemantauan berkala terhadap perkara itu bagi memastikan isu seperti penyewaan lesen perniagaan kepada warga asing tanpa dokumen sah dan pengambilan pekerja dalam kalangan pendatang tanpa izin dapat dibanteras.

“Mereka (pemilik premis) perlu menggunakan saluran betul jika hendak mengambil pekerja asing dan perlu mengelak sama sekali menggaji pendatang tanpa izin,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Pasukan Gerakan Am (PGA), Polis Diraja Malaysia yang menyerbu dan menangkap pendatang tanpa izin di Jalan Silang, Kuala Lumpur dua hari lalu.

Dalam serbuan Khamis lalu, 1,101 warga asing kebanyakannya warga Bangladesh, Nepal dan Myanmar ditahan selepas hampir satu batalion pegawai dan anggota polis daripada PGA menyerbu Jalan Silang atau terkenal dengan jolokan “Mini Dhaka”.

Operasi dilakukan susulan aduan orang awam yang rimas dengan perlakuan warga asing yang bertindak memonopoli premis perniagaan di kawasan itu dan bertindak besar kepala dengan penduduk tempatan, selain menjadikan kawasan itu seolah-olah perkampungan mereka.

– BERNAMA


Pengarang :