Suasana sekitar majlis penutup Karnival Kanak-kanak Negeri Selangor di Dewan Raja Muda Musa Shah Alam pada 28 Mei 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
EXCOPILIHAN MINGGUANSELANGOR

EXCO: 2,800 kanak-kanak terima bantuan makanan berzat, tangani isu bantut

SHAH ALAM, 23 DIS: Seramai 2,800 kanak-kanak menerima bantuan pek nutrisi di bawah program Anak Selangor Anak Sihat (ASAS) sepanjang tahun ini.

EXCO kesihatan awam berkata bekalan makanan berkhasiat itu turut memanfaatkan lebih 9,000 ahli keluarga kanak-kanak terlibat yang terdiri golongan berpendapatan rendah.

Jamaliah Jamaluddin menjelaskan inisiatif yang dilaksanakan sejak 2021 bertujuan mengatasi isu kanak-kanak bantut, kurang zat dan berat badan berlebihan.

“Tahun ini skop program ASAS diperluas menerusi pelaksanaan Jelajah Program Karnival ASAS di sembilan daerah Selangor yang mana selain pemberian bantuan pek nutrisi pelbagai aktiviti lain turut diadakan.

“Antaranya saringan kesihatan kanak-kanak dan khidmat nasihat pemakanan, demonstrasi masakan pemakanan sihat oleh pakar nutrisi, pertandingan bertema gaya hidup sihat dan pameran kesihatan.

“Objektif jelajah karnival bagi meningkatkan tahap advokasi dan kesedaran ibu bapa dan kanak-kanak dalam aspek pemakanan sihat serta seimbang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Jamaliah berkata program ASAS yang dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selaku agensi pelaksana akan diteruskan pada masa akan datang.

“Program yang turut mendapat kerjasama daripada pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Ahli Dewan Negeri (ADN) serta pemimpin tempatan ini akan diteruskan pada masa akan datang.

“Justeru, Kerajaan Negeri berharap masyarakat setempat khususnya ibu bapa memberi kerjasama dengan penglibatan aktif berhubung isu nutrisi kanak-kanak kerana mereka ini adalah pelapis kemajuan dan kemakmuran negeri serta negara,” katanya.


Pengarang :