Anggota bomba dan penyelamat dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) budak lelaki yang dikhuatiri lemas di Sungai Tok Hakim, Kampung Tok Hakim pada 27 Disember 2023. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kanak-kanak tergelincir dalam sungai ketika main air ditemukan lemas

KUALA TERENGGANU, 28 DIS: Pencarian kanak-kanak yang hilang selepas tergelincir ketika bermain air di Sungai Tok Hakim di Kampung Tok Hakim dekat sini berakhir apabila mayatnya ditemukan kira-kira pukul 11 pagi ini, sekitar 30 meter dari tempat kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu Rozizah Abni Hajar berkata mayat Muhammad Harraz Ilman Mohd Syahril Redhuan, 11, ditemukan oleh pasukan penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada kedalaman kira-kira 1.5 meter.

Beliau berkata susulan penemuan itu operasi yang bermula 5 petang semalam ditamatkan pada pukul 12 tengah hari.

“Mayat ditemukan dalam keadaan tertiarap di dasar sungai. Kita hadapi kesukaran untuk menemukan mayat itu disebabkan faktor cuaca dan keadaan dasar sungai yang penuh dengan pokok-pokok liar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Kampung Tok Hakim, di sini hari ini.

Dalam kejadian 4.46 petang semalam, Muhammad Harraz Ilman dilaporkan hilang selepas tergelincir ketika bermain air bersama adik lelakinya, Muhammad Firas Wafiy, 9, dan seorang lagi rakannya di Sungai Tok Hakim, Kampung Tok Hakim.

Seramai 72 anggota daripada pelbagai agensi termasuk unit K9 JBPM terlibat dalam operasi berkenaan.

– BERNAMA


Pengarang :