Pegawai Tadbir Agama Daerah Kuala Selangor Nasrul Hadi Rohani (dua, kanan) menyerahkan cek cura sumbangan baik pulih prasarana kepada wakil Masjid Ar Ridzuan, Bestari Jaya di Masjid Al Awwabin Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 26 Disember 2023. Foto Facebook Lembaga Zakat Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

LZS agih RM229,000 tampung kos baik pulih lima masjid di Kuala Selangor

SHAH ALAM, 28 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) pada kelmarin mengagihkan RM229,000 bagi menampung kos membaik pulih lima masjid di Kuala Selangor.

Agensi itu memaklumkan Masjid Darul Falah, Jeram, Masjid Nurul Hasanah, Kuala Selangor dan Masjid Ar Ridzuan, Bestari Jaya masing-masing menerima RM50,000.

Selain itu, sumbangan RM40,000 turut diberikan kepada Masjid Al Awwabin, Bestari Jaya dan Masjid Darussolihin, Tanjung Karang (RM39,000).

“Majlis serahan sumbangan di Masjid Al Awwabin Bestari Jaya turut disertai oleh Pegawai Tadbir Agama Daerah Kuala Selangor Nasrul Hadi Rohani dan Ketua Jabatan Pengurusan Operasi Agihan Daerah Zainudin Johari,” katanya menerusi Facebook.

LZS berharap sumbangan berkenaan membantu menambah baik kemudahan masjid supaya lebih kondusif dan selesa selari dengan keperluan umat Islam.

“Dengan masih berbaki beberapa hari lagi sebelum masuk ke 2024, marilah bersama-sama kita menunaikan tanggungjawab berzakat kepada LZS agar lebih banyak lagi keperluan fisabilillah dapat disantuni,” katanya.


Pengarang :