Wakil rakyat Lembah Jaya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau Altimet turun padang bertemu komuniti bagi menghebahkan program bantuan Iltizam Selangor Penyayang (ISP) antaranya Skim Air Darul Ehsan (SADE) dan Skim Mesra Usia Emas (SMUE). Foto Facebook Syed Ahmad Altimet
ADNSELANGOR

Wakil rakyat turun ke masjid hebah program bantuan negeri

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 3 JAN: Wakil rakyat Lembah Jaya turun ke masjid bagi mendekati penduduk khasnya warga emas bagi menghebahkan program bantuan negeri bawah Iltizam Selangor Penyayang (ISP).

Menurut Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau Altimet, pihaknya mahu memastikan golongan yang layak dan memerlukan mendaftar, sekali gus mendapat manfaat penuh program kebajikan negeri.

“Kita faham bukan semua mempunyai akses untuk menerima hebahan melalui media sosial, justeru saya sentiasa turun padang seperti di masjid atau surau untuk memaklumkan program ISP,” katanya.

Beliau juga giat membuat hebahan program bantuan perayaan antaranya Jom Shopping Raya sempena Tahun Baharu Cina pada Februari, termasuk merangka program untuk Ramadan dan Aidilfitri.

Syed Ahmad turut memastikan sekurang-kurangnya kuota 10 peratus skim air percuma atau Skim Air Darul Ehsan yang disediakan pentadbiran negeri dimanfaatkan penduduk kawasan itu.

“Pentingnya hebahan kepada rakyat program bantuan disediakan Kerajaan Negeri supaya lebih 65,000 pengundi Lembah Jaya dapat menerima manfaat berkenaan,” katanya.

Beliau turut bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Ampang Jaya bagi memastikan kemudahan di tempat awam dibaik pulih segera termasuk menebang pokok tua untuk keselamatan penduduk.

 


Pengarang :