AGENDAJENAYAH

Kes warga emas mati ditikam, dua lelaki ditahan

SEREMBAN, 4 JAN: Seorang lelaki warga emas berusia 74 tahun ditemukan mati dengan kesan tikaman di belakang badan dan kedua-dua buku lali kaki di sebuah rumah di Kampung Pasir Rantau, dekat sini, 10.10 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Arifai Tarawe berkata susulan itu polis menahan dua lelaki berusia 25 tahun dan 18 tahun dipercayai suspek kejadian untuk siasatan lanjut.

“Mangsa tidak bekerja ditemui mati dengan kesan kecederaan, salah seorang suspek ditahan 5 petang tadi di kawasan kejadian manakala seorang lagi dipanggil ke balai polis untuk siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Arifai berkata mayat dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata pihaknya menyeru sesiapa yang mempunyai maklumat kejadian itu tersebut tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat di Ibu pejabat Polis Daerah Seremban, ASP Mohd Firdaus Sudeerman di talian 010-3921373.

— BERNAMA


Pengarang :