Situasi banjir di Kampung Pasir, Johor Bahru ketika tinjauan pada 1 Disember 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Mangsa banjir di Johor meningkat kepada 1,481 orang pagi ini

KUALA LUMPUR, 5 JAN: Jumlah mangsa banjir di Johor terus meningkat kepada 1,481 orang di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 6 pagi ini berbanding 1,024 mangsa malam tadi.

Berdasarkan laporan terkini kejadian bencana di seluruh negara yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), 13 PPS yang dibuka itu ialah empat di Johor Bahru yang menempatkan 420 mangsa, enam di Kota Tinggi (720 mangsa), dua di Mersing (271 orang) dan satu di Kluang (70 orang).

Menurut NADMA, status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati tiga sungai berada pada paras bahaya iaitu Sungai Tenglu Besar Mersing, Johor yang merekodkan 2.12 meter (m) dengan trend menurun; Sungai Endau Kluang, Johor (14.74m dengan trend meningkat); Sungai Perak Hulu Perak, Perak (112.04m dengan trend menurun) manakala Sungai Arau, Perlis (24.15m dengan trend meningkat) setakat pagi ini.

Laporan itu juga menyatakan terdapat 23 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak atau runtuh dan akibat tanah runtuh.

Jalan terlibat antaranya Jalan Durian Mentangau, Dungun, Terengganu; Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Kupang-Gerik-Jeli, Hulu Perak,Perak; Jalan Kota Tinggi-Kluang, Johor; Jalan Bukit Jugra, Kuala Langat, Selangor dan Jalan Temerloh-Jerantut, Temerloh, Pahang.

– BERNAMA


Pengarang :