Orang ramai berurusan di kaunter perkhidmatan Lembaga Zakat Selangor di Shah Alam pada 7 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

LZS laksana kawalan risiko, pelihara integriti, kredibiliti pengurusan zakat

SHAH ALAM, 7 JAN: Lembaga Zakat Selangor(LZS) melaksanakan pelbagai kawalan risiko dalaman dan luaran bagi memelihara integriti dan kredibiliti pengurusan zakat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya berkata ia termasuk pelaksanaan pelbagai siri pengauditan termasuk menerusi audit dalaman LZS, audit tempatan dan firma audit antarabangsa.

Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata pengauditan termasuk daripada Jabatan Audit Negara, audit SIRIM Berhad (Sirim), audit Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS) dan audit Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

“LZS akan terus tambah baik tadbir urus dan proses dalaman bagi memastikan salah laku integriti tidak berlaku dan dapat ditangani dengan baik,” katanya dalam kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) Mohd Sabirin Mohd Sarbini ketika sidang media selepas pelancaran Kempen Kongsi Rezeki Dengan Zakat 2023 di Ibu Pejabat LZS, Seksyen 13 pada 27 November 2023. Foto SHEEDAFATHIL/SELANGORKINI

Mengulas lanjut, Mohd Sabirin berkata sebagai entiti yang menguruskan zakat untuk kebajikan umum, agensi itu amat mengutamakan nilai amanah bukan saja dalam kalangan warga kerja tetapi juga pihak dilantik LZS.

“Susulan kenyataan daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, LZS sentiasa bersedia memberi kerjasama penuh terhadap siasatan dijalankan pihak berkuasa.

“LZS memandang serius sebarang salah laku membabitkan integriti dan tanpa kompromi akan mengambil tindakan tatatertib terhadap mana-mana individu atau syarikat terlibat.

“Ini bagi memastikan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada LZS sentiasa terpelihara dan kepercayaan masyarakat terhadap institusi zakat tidak terjejas,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan polis menyiasat empat kes jenayah pecah amanah berkait kutipan zakat sepanjang tahun lalu.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata antara yang disiasat termasuk sebuah syarikat dilantik sebagai ejen kutipan zakat oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) selepas disyaki menyeleweng kutipan zakat RM9.62 juta.

Selain itu dua kes lain direkodkan di Selangor dan satu kes di Terengganu dengan jumlah keseluruhan kerugian RM9.71 juta bagi keempat-empat kes.


Pengarang :