BUDAYARENCANA

Kahwin-Kahwin

Oleh Aliaa Alina

Cinta adalah kedukaan.

Mengapa saya berani berkata begitu?

Kerana hampir setiap minggu, sahabat saya, Shima menelefon sambil menangis teresak-esak mengadu tentang perangai celaka suaminya.

“Hari ini suami aku balik lewat malam. Bila aku tanya dia ke mana, dia diam. Bila aku desak lagi, aku kena tampar.”

“Hari ini suami aku main video games seharian. Bila aku bebel, dia suruh aku senyap, aku bebel lagi, terus dia bangun dan bagi penampar.”

“Hari ini aku tak larat masak, jadi aku tidur seharian di rumah. Bangun sahaja daripada tidur, aku kena tampar sebab tak masak.”

Saya cakap, tinggal sahaja si lelaki tak berguna itu, namun Shima enggan.

“Kau tak faham sebab kau tak kahwin lagi. Bukan mudah untuk aku pergi macam tu je…”

Saya terdiam, nak sahaja cakap, mengapa dia memilih untuk memenjarakan diri, sedangkan pintu terbuka begitu luas?

Tapi disimpan sahaja dalam hati. Sepayah-payah hendak mengalihkan gunung, payah lagi hendak mengubah mentaliti seorang isteri bernama Shima.

* * *

Di sosial media, kecoh cerita kontroversi seorang pempengaruh yang didakwa telah mendera isterinya dan berkahwin lain tanpa izin. Rasa jengkel membuatkan saya menutup telefon dan membuka tivi.

Di tivi, keluar berita tentang seorang perempuan yang dicurangi suami, iaitu seorang pelakon lelaki (pernah) popular awal tahun 2000 yang sering membintangi drama Rashid Sibir.

Perempuan berumur lewat 30-an itu ditemu ramah oleh seorang wartawan hiburan. Di hadapan lensa kamera, dia didesak dengan soalan yang agak peribadi. Kasihan, kecelakaan hidupnya dijadikan hidangan untuk mengenyangkan umum yang laparkan cerita sensasi.

Saya menutup tivi dan kembali membuka telefon. Saya terbaca satu hantaran tentang pengakuan ibu mengandung tujuh bulan yang mahu membunuh diri kerana tertekan dengan skandal seks suami di tempat kerja.

‘Suami mengaku curang kerana bosan tidak dapat bersetubuh dengan saya. Setiap kali kami cuba bersetubuh, saya mengalami pendarahan’, tulis isteri tersakiti tanpa nama.

Saya terus mengambil keputusan untuk tidur sahaja.

Malam itu, saya bermimpi berdiri di hadapan kayu yang disusun tinggi. Api marak menjilati menara kayu itu. Ada jenazah diletakkan di tengah-tengahnya.

Seorang lelaki India menjerit menyuruh saya terjun ke dalam lautan api. Katanya, menemani suami ke alam barzakh adalah kemuliaan tertinggi seorang isteri.

Keengganan saya menurut perintah membuatkan tubuh ini diangkat dan dijulang tinggi. Mereka bertekad mahu menghumban saya ke dalam api itu.

Saya terus terjaga lalu beristighfar panjang. Setelah membaca surah penenang dan meneguk segelas air, saya kembali melelapkan mata.

Saya terjaga pula di atas meja kayu. Saya berada di dalam sebuah bilik dingin yang berdinding batu dan berlantai pasir. Api obor suram menerangi ruang yang dipenuhi peti harta karun dan perhiasan emas permata. Ada sebuah keranda batu di sebelah membuatkan tubuh ini merinding. Saya cemas bangun dan meraba dinding cuba mencari pintu keluar.

Tiada. Degupan jantung semakin kencang dan api obor pula tiba-tiba terpadam.

Bilik menjadi hitam zulmat. Terdengar bunyi penutup keranda batu bergeseran seperti dibuka seseorang. Dalam igauan, saya menjerit ketakutan.

* * *

Arwah abah kata, kononnya pada zaman Mesir Kuno, isteri firaun ditanam sekali bersama suami untuk dijadikan peneman dalam kehidupan akhirat.

Saya tanya, kalau isterinya mati dulu, firaun kena tanam sekali tak?

Abah tergelak, tidak, kalau isterinya mati dulu, firaun akan kahwin lain.

Nasib baik sewaktu itu saya masih budak lagi, kalau dewasa ini, saya pasti menyumpah shibal saekkiya di dalam hati.

Abah meninggal dunia ketika saya berusia 33 tahun. Ketika semua orang, termasuklah saudara-mara, jiran tetangga, rakan sepejabat bertanya bila saya nak kahwin, abah tanya, bila kita nak pergi cari buku di pasar karat?

Selepas kematian abah, saya gemar menyendiri di dalam bilik abah yang dipenuhi dengan buku. Jika duduk di atas sejadah diumpamakan mendekatkan diri kepada Tuhan, bagi saya, dikelilingi ratusan buku ini, dirasakan abah sentiasa dekat dengan saya.

Sewaktu berumur 15 tahun, saya terbaca buku Kawin-Kawin tulisan Azizi Haji Abdullah. Saya tanya abah, apa itu kahwin mut’ah?

Abah kata itu perbuatan kahwin kontrak. Bila kontrak habis, suami isteri terus bercerai. Dalam kepala naif ini, saya berniat nak kahwin mut’ah dengan kumpulan Westlife.

Kemudian abah menyambung, pengajaran yang terselindung dalam cerita itu mungkin merujuk kepada sikap parti politik di Malaysia yang kejap-kejap bergabung, kejap-kejap bercerai semata-mata untuk kuasa.

Saya angguk sahaja walaupun kurang faham. Lagipun ketika itu, politik bagi saya hanyalah Umno.

Dan sekarang saya bersyukur betapa abah tidak pernah melayan saya seperti budak yang tidak tahu apa-apa.

* * *

Disebabkan buku semakin menimbun di dalam bilik, mama menyarankan saya untuk menjual sebahagiannya di pasar karat.

Sedang mengemas buku-buku ini, Shima menelefon saya. Suaranya serak dan hidungnya menyedut-nyedut hingus daripada terkeluar dari lubang.

Rupanya dia sudah menuntut cerai daripada suami. Saya menenangkan dia dan bersyukur di dalam hati kerana akhirnya Shima berani melepaskan diri daripada ditindas.

Dia memberitahu suaminya ingin berkahwin lain dengan seorang pelajar IPTA. Dia tidak sanggup untuk hidup bermadu.

Ohh, itu yang mampu terkeluar dari mulut ini. Selama ini, Shima mampu bersabar walaupun ditempeleng setiap minggu. Namun saat si suami membuka mulut mahu berkahwin lain, dia terus mengangkat kaki keluar dari rumah.

Mungkinkah juga poligami adalah had kesabaran seorang isteri.

* * *

Termengah-mengah saya membawa sekotak buku lama abah ke sebuah kedai buku terpakai di pasar karat.

Setiap kali saya datang, pemiliknya yang tua renta akan bertanya, mana Talib, dah lama tak nampak dia datang sini?

Dah berkali juga diberitahu, Talib sudah lama meninggal dunia, namun pemilik kedai sering terlupa hakikat itu.

Saya memegang erat buku Kawin-Kawin, hati rasa berbolak balik pula untuk menjual buku ini.
Kerana ini merupakan buku feveret (kegemaran) abah dan saya.

Seorang lelaki tinggi lampai berkaca mata memandang ke arah saya. Dia memegang buku Shit tulisan Shahnon Ahmad.

Saya terkesima kerana wajahnya seiras dengan arwah abah sewaktu muda.

Dia tersenyum dan saya membalas senyuman itu. Dia memberitahu bahawa dia menyukai buku Kawin-Kawin. Azizi pandai bersatira, pujinya lantas dia pun memperkenalkan diri.

Saya teragak-agak mahu menyambut perkenalan ini, dada berdebar-debar seperti genderang mahu perang.

Bunyi macam tak masuk akal namun dalam momen cinta pandang pertama ini, saya terkenangkan wajah Shima dan isteri Firaun. Dan wajah sugul mama saat menatap abah kali terakhir sebelum penutup keranda ditutup sepenuhnya.

Sesungguhnya cinta itu adalah kedukaan.


Pengarang :