Sebahagian jemaah umrah pada Majlis Perlepasan Jemaah Umrah melalui penerbangan pertama pesawat Malaysia Airlines anjuran AMAL di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang pada 30 Disember 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

88 kertas siasatan dibuka tipu pakej umrah, sebuah syarikat didakwa Selasa ini

TENOM, 7 JAN: Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membuka 88 kertas siasatan berkaitan aduan penipuan pakej umrah baru-baru ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata pada 22 Disember tahun lalu, sekumpulan pengguna mendakwa menjadi mangsa penipuan umrah membuat aduan kepada Bahagian Penguatkuasaan KPDN di Putrajaya dan beberapa negeri lain.

Armizan berkata aduan itu melibatkan kesalahan syarikat umrah tidak mematuhi keputusan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) yang menetapkan award yang perlu dibayar syarikat kepada mangsa terlibat.

“Sebahagian siasatan telah lengkap dan setakat ini, sebuah syarikat yang berpangkalan di Putrajaya menerima notis untuk pendakwaan Selasa depan. Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan Program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan Community Drumming (PoS to PoS) di sekitar Tenom di sini hari ini.

Armizan berkata isu penipuan umrah dalam bidang kuasa KPDN ialah terkait kepada aspek kepenggunaan, sementara aspek pelesenan, elemen jenayah dan lain-lain adalah di bawah bidang kuasa kementerian serta agensi lain.

“Mengambil kira isu dan kes melibatkan penipuan umrah semakin banyak, saya telah mengarahkan Ketua Setiausaha KPDN untuk mengadakan perbincangan segera melalui sebuah jawatankuasa melibatkan agensi berkaitan.

“Usaha ini penting untuk penyelarasan dan mengenal pasti tindakan yang perlu dilaksanakan untuk memastikan perlindungan lebih holistik kepada pengguna dalam pengurusan umrah dan haji,” katanya.

Beliau berkata usaha itu termasuk mengkaji keperluan untuk menambah baik kerangka perundangan sedia ada untuk pertimbangan Jemaah Menteri.

– BERNAMA


Pengarang :