Norehan Desa, 50, mengiringi suaminya Othman Mohamed Said, 62, pesara polis yang memerlukan rawatan segera selepas pembuluh darahnya pecah akibat serangan jantung ketika menaiki helikopter ke Institut Jantung Negara (IJN) menerusi penerbangan ihsan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Mertajam pada 7 Januari 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pesara polis diterbangkan ke IJN menerusi penerbangan ihsan PDRM

BUKIT MERTAJAM, 7 JAN: Pesara polis yang memerlukan rawatan segera selepas pembuluh darahnya pecah akibat serangan jantung diterbangkan ke Institut Jantung Negara (IJN) pagi ini menerusi penerbangan ihsan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Othman Mohamed Said, 62, yang bersara pada 2022 terkena serangan jantung selepas selesai menunaikan solat maghrib di Masjid Jamek Alma Jaya pada Jumaat lalu sebelum dibawa ke sebuah hospital swasta.

Adik ipar Othman, Norisyam Desa, 39, berkata abang iparnya perlu dirujuk segera ke IJN bagi menjalani rawatan dan pembedahan kerana dibimbangi jika lewat akan menyebabkan kegagalan pada buah pinggang.

“Doktor yang mengambil sampel darah pada awalnya tidak mengesan serangan jantung tetapi selepas ujian dilakukan keesokan harinya (Sabtu) mendapati pembuluh darahnya telah pecah dan terdapat koyakan di bahagian itu yang jika gagal dirawat segera akan memberi kesan kepada buah pinggangnya.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin (enam, kanan) menemui Othman Mohamed Said, 62, pesara polis yang memerlukan rawatan segera selepas pembuluh darahnya pecah akibat serangan jantung sebelum menaiki helikopter ke Institut Jantung Negara (IJN) menerusi penerbangan ihsan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Mertajam pada 7 Januari 2024. Foto BERNAMA

“Abang ipar pernah terkena serangan (jantung) sekali pada 2015 tetapi ketika itu hanya sesak nafas dan pulih selepas dirawat di hospital tetapi kali ini teruk hingga menyebabkan koyakan jadi doktor putuskan supaya dihantar segera ke IJN,” katanya ketika ditemui di perkarangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Rawa, di sini hari ini.

Othman yang mempunyai lima anak, berkhidmat bersama pasukan polis sehingga 60 tahun sebelum bersara wajib dua tahun lalu dengan jawatan terakhir sebagai Sub Inspektor di Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

Dalam pada itu, Norisyam yang mewakili keluarga berterima kasih kepada pucuk pimpinan PDRM di atas keprihatinan dengan membenarkan penerbangan ihsan itu biar pun abang iparnya itu sudah pun bersara selain memohon doa supaya urusan rawatan dan pembedahan Othman berjalan lancar.

Terdahulu, penerbangan ihsan membawa Othman dilakukan Pasukan Gerakan Udara (PGU) menggunakan helikopter jenis Agusta AW139, diketuai juruterbang Supt Amirul Adli Ahmad bersama pembantu Supt Mohd Fairuz Jamil serta dua kru berlepas dari Pangkalan Udara Subang dan tiba di padang SMK Padang Rawa pada 8.50 pagi.

Pesakit diiringi isterinya, Norehan Desa, 50, seorang doktor pakar serta seorang jururawat dan turut hadir adalah Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin dan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Tan Cheng San.

Penerbangan berlepas pada 9.30 pagi dan mengambil masa satu jam 20 minit untuk tiba di Hospital Kuala Lumpur seterusnya dibawa ke IJN.

Khaw ketika ditemui berkata penerbangan ihsan itu merupakan satu daripada kebajikan pasukan terhadap anggota yang memerlukan bantuan.

“Walaupun anggota berkenaan sudah pun bersara tetapi mereka tetap sebahagian daripada pasukan dan wajar diberikan bantuan sama seperti ketika berkhidmat. Kita doakan supaya urusan rawatan (Othman) berjalan lancar dan dipermudahkan,” katanya.

– BERNAMA

 


Pengarang :