Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas merasmikan Majlis sambutan Hari Integriti dan pelancaran Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) MBI dan anak syarikat milikannya di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 8 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lebih RM1 bilion Sumbangan Tunai Rahmah diagih kepada rakyat Selangor (VIDEO)

SHAH ALAM, 8 JAN: Lebih RM1 bilion disalurkan kerajaan persekutuan kepada rakyat Selangor menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi menjaga kebajikan mereka.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kerajaan sedia ada juga banyak menyelesaikan masalah rakyat terutama aspek bekalan makanan dengan harga berpatutan.

“Ini menunjukkan kerajaan hari ini berada dalam kerajaan yang bekerja,” katanya ringkas dalam video yang dimuat naik di platform media sosial rasminya.

Beliau menjelaskan Kerajaan Negeri turut menambah beberapa program kebajikan antaranya Iltizam Sihat Selangor, Skim Insurans Am Selangor dan dana untuk semua jenis sekolah.

Turut disediakan, menurut Amirudin, peruntukan rumah ibadat dengan Selangor antara negeri yang menyediakan tapak yang digazetkan, sekali gus tidak perlu membayar premium tanah.

“Bayaran premium tanah (ini) yang dulu menjadi masalah menyebabkan rumah ibadat tidak dapat didirikan,” katanya lagi menerusi video berkenaan.

Bermula 2008 selepas memegang tampuk pentadbiran, Kerajaan Selangor menyediakan tujuh program kebajikan dengan tema Merakyatkan Ekonomi Negeri.

Skim tersebut bertambah kepada 43 menerusi Inisiatif Peduli Rakyat pada 2017 sebelum penyelarasan dibuat menjadikan 33 bantuan disediakan pada 2019.

Sehingga kini, Selangor memiliki 46 pelan kebajikan kepada rakyat menerusi Iltizam Selangor Penyayang (ISP) dengan peruntukan lebih RM600 juta.

 


Pengarang :