SHAH ALAM, 9 JAN: Kerajaan Negeri berhasrat menjadikan rumah keluarga Allahyarham Dato’ Mohd Sidek di Kanchong Darat, Kuala Langat sebagai rumah warisan kebangsaan.
EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah berkata ia bakal menjadi daya tarikan pelancongan dan pemeliharaan warisan baharu bersesuaian dengan Tahun Melawat Selangor pada 2025.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/01/PSX_20240109_121857-500x333.jpg.webp)
“Saya berharap perkara ini mendapat persetujuan daripada keluarga Allahyarham untuk tindakan selanjutnya dari Kerajaan Negeri,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pameran Anak-anak Sidek di Auditorium Daeng Chelak, Muzium Sultan Alam Shah di sini.
Sementara itu, Legenda Badminton Negara Datuk Misbun Dato’ Mohd Sidek ketika ditemui memuji cadangan Kerajaan Selangor namun akan berbincang dengan keluarga terlebih dahulu.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/01/PSX_20240109_121806-500x333.jpg.webp)
“Ini merupakan cadangan yang amat bagus kerana di rumah itulah bermulanya tempat kami adik-beradik (anak-anak Sidek) berlatih badminton, rumah kebangaan kami, banyak kenangan di situ.
“Saya bersetuju untuk ia (rumah) dijadikan rumah warisan tetapi saya perlu berbincang dahulu dengan yang lain berhubung perkara ini dalam masa terdekat,” katanya.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/01/sidek-3-500x333.jpg.webp)
Sebelum ini, Borhan memaklumkan sekiranya kediaman itu dijadikan rumah warisan ia tidak menjadi hak Kerajaan Negeri atau Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan sebaliknya masih menjadi milik keluarga seperti rumah tradisional Pak Ali di Gombak.
Pameran Anak-anak Sidek sehingga 30 April ini memaparkan kisah perjalanan karier dan kejayaan yang diperoleh oleh Datuk Misbun, Dato’ Razif, Dato’ Seri Jalani, Abdul Rahman dan Datuk Abdul Rashid.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/01/PSX_20240109_122905-500x333.jpg.webp)