EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah meninjau persiapan Pameran Anak-anak Sidek bersama bekas jaguh badminton negara Datuk Misbun Sidek dan Datuk Jailani Sidek di Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam pada 26 September 2023. Foto Facebook Borhan Aman Shah
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Pameran Anak-anak Sidek di Muzium Sultan Alam Shah mulai 1 November, masuk percuma

SHAH ALAM, 21 OKT: Pameran Anak-anak Sidek diadakan selama enam bulan bermula 1 November ini di Muzium Sultan Alam Shah di sini, kata EXCO kebudayaan dan warisan.

Borhan Aman Shah berkata pameran secara percuma itu memberi peluang orang ramai khususnya peminat badminton melihat pelbagai koleksi piala, pingat, gambar dan barangan milik anak Allahyarham Datuk Sidek Abdullah Kamar.

EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah bercakap kepada media selepas majlis Anugerah Seni Budaya Negeri Selangor di Hotel De Palma, Shah Alam pada 21 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor sudah mengadakan perjumpaan dengan Datuk Misbun dan Datuk Seri Jalani. Mereka setuju dan sudah serah barangan kepada kita.

“Persetujuan melibatkan tiga perkara iaitu pinjaman, serahan sementara dan hadiah (sumbangan kepada muzium),” katanya ketika ditemui selepas Majlis penyampaian Anugerah Seni Budaya Negeri Selangor 2023 di Hotel De Palma di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Borhan berkata pihaknya merancang menjadikan rumah Allahyarham Sidek di Kanchong Darat, Banting sebagai rumah warisan serta tarikan pelancongan.

“Dalam sejarah dunia tidak pernah dapat satu keluarga yang memegang Piala Thomas. Belum ada lagi dan saya rasa tidak akan wujud.  Kalau kita tidak jaga sejarah anak Selangor (sayanglah).

“Rumah warisan ini bukan jadi hak kita atau Kementerian Pelancongan, Kesenian  dan Kebudayaan, ia (tetap) akan jadi milik keluarga cuma di bawah jagaan warisan seperti rumah tradisional Pak Ali di Gombak,” katanya.

Misbun (Bun), Razif (Ajib), Jailani (Alan), Rahman (Aman) dan Abdul Rashid (Adul) adalah Lima Sidek bersaudara yang melakar sejarah penting buat Malaysia dalam sukan badminton di mata dunia.


Pengarang :