Wajah baru lori kompaktor KDEB Waste Management (KDEBWM) yang dilancarkan ketika Majlis pelancaran lori kompaktor dan imej korporat baharu KDEBWM di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Shah Alam pada 20 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

KDEBWM sasar 250,000 pengguna daftar aplikasi i-Clean tahun ini

SHAH ALAM, 12 JAN: KDEB Waste Management (KDEBWM) menyasarkan 250,000 pengguna berdaftar di aplikasi aduan pembuangan sampah, i-Clean Selangor pada tahun ini, kata pengarah urusannya.

Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata setakat ini jumlah berdaftar menerusi aplikasi yang dibangunkan sejak 2016 menerusi dalam talian adalah seramai 150,000 pengguna.

“Hampir 98 peratus daripada aduan diterima di aplikasi ini berjaya diselesaikan dalam tempoh ditetapkan seperti kutipan sampah 12 jam manakala pembersihan awam kurang dari 48 jam.

“Oleh itu, tahun ini, kita sasar daftar seramai 100,000 pengguna di aplikasi ini. Sebenarnya aplikasi ini memudahkan pengguna untuk menghantar sebarang aduan terutama berkaitan kutipan sampah,” katanya dihubungi SelangorKini.

Tambahnya, KDEBWM akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, ahli dewan negeri dan ahli parlimen supaya memudahkan pendaftaran pengguna.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan KDEBWM memfokuskan untuk mempertingkat prestasi dengan menambah prospek perniagaan pada tahun ini.

“Contohnya, tahun ini kita telah mendapat kelulusan untuk menguruskan sisa industri di Majlis Perbandaran Selayang berbanding sebelum ini hanya di Majlis Perbandaran Kuala Langat dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor.

“Selain itu, kita juga telah menyambung kontrak selama tujuh tahun bersama Majlis Perbandaran Selayang dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya untuk kutipan sampah domestik,” ujarnya.

Tahun lalu, aplikasi i-Clean Selangor yang dibangunkan KDEBWM memenangi anugerah Aplikasi Perkhidmatan Awam Terbaik sempena majlis Anugerah PC.Com edisi ke-23.

I-Clean Selangor memudahkan orang ramai melaporkan aduan kutipan sisa pepejal dan mendapatkan perkhidmatan secara dalam talian selain memohon perkhidmatan pembuangan sampah pukal.

Orang ramai boleh memuat turun aplikasi itu di Google Play dan App Store selain menghubungi khidmat pelanggan di talian 1-800-88-2824/019-375 9592 atau WhatsApp (019-2742824) supaya aduan diurus dengan lebih cepat dan tepat.


Pengarang :