Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Melaka giat memadamkan kebakaran sebuah bas di KM 198.0, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah Utara, Melaka ketika 3.55 pagi pada 13 Januari 2024. Foto Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
AGENDANASIONAL

Seorang pelancong India maut, empat cedera bas dinaiki terbakar dalam nahas

ALOR GAJAH, 13 JAN: Seorang pelancong warga India maut, manakala empat penumpang lagi cedera selepas bas yang mereka naiki terbakar dalam nahas dengan sebuah motosikal di Kilometer 198 Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara) di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu berkata mangsa iaitu remaja perempuan berusia 17 tahun cedera terbakar pada badan dan disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan.

Beliau berkata dalam kejadian pada kira-kira 3.50 pagi itu, difahamkan bas ekspres tersebut membawa 28 penumpang dalam perjalanan dari Singapura ke Kuala Lumpur.

“Hasil siasatan dipercayai berlaku kemalangan membabitkan motosikal yang ditunggang pemuda berusia 21 tahun akibat terbabas sendiri dan jatuh di lorong paling kiri di lokasi berkenaan.

“Bagaimanapun, penunggang itu sempat bangun menyelamatkan diri ke kiri jalan sebelum motosikalnya dilanggar bas yang datang dari arah sama menyebabkan motosikal tersebut terseret ke hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini

Arshad berkata mangsa dan kesemua penumpang yang cedera berusia antara 69 tahun hingga 17 tahun merupakan satu keluarga warga India dan seorang daripadanya warga Singapura.

“Mereka yang cedera telah dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan. Dua pemandu dan 23 penumpang bas lain tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala penunggang motosikal hanya luka pada anggota badan.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kenderaan terlibat ditahan untuk pemeriksaan Puspakom. Kes diklasifikasikan di bawah Sekyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Ayer Keroh Timbalan Penguasa Bomba II (KUP) Zahrul Azha Mokhtar berkata 21 anggota digerakkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 3.55 pagi.

Menurutnya operasi itu turut membabitkan satu lori tangki dengan kapasiti 20,000 liter air dari BPP Tangga Batu untuk kerja-kerja pemadaman kebakaran dan operasi berjaya dikawal pada 4.25 pagi.

– BERNAMA

 

 


Pengarang :