ADN Seri Serdang Abbas Azmi melakukan gimik perasmian Eco Melati Garden di Kolej Melati, UiTM Shah Alam pada 13 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Pelajar UiTM bina taman mini hidroponik sokong pembangunan mampan

SHAH ALAM, 13 JAN: Usaha sekumpulan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) membangun taman mini hidroponik disifatkan sebagai menyokong matlamat negeri mencapai pembangunan mampan (SDG).

Wakil rakyat Seri Serdang yang memuji inisiatif projek ‘Melati Eco Gardan’ diusahakan mahasiswa Kolej Melati menerusi penananam sawi pak choy dan salad menganggap ia wajar dicontohi.

“Usaha ini akan menambah lagi kawasan hijau yang sememangnya menjadi tumpuan pentadbiran negeri. Di Selangor, kita memang menyokong usaha seperti ini antaranya projek pertanian bandar menerusi kebun komuniti.

“Dalam masa sama, ia turut mengasah keterampilan keusahawanan dalam kalangan pelajar memandangkan hasilnya turut dijual kepada komuniti setempat sekali gus mampu menjana pendapatan,” kata Abbas Azam ketika merasmikan taman mini berkenaan.

Sekumpulan pelajar menunjukkan sayuran yang ditanam secara hidroponik selepas majlis perasmian Eco Melati Garden di Kolej Melati, UiTM Shah Alam pada 13 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata Kerajaan Negeri sentiasa menyokong usaha seperti itu selain sedia menghulur bantuan bagi memperluaskan projek SDG.

“Agensi Kerajaan Negeri sedia berkerjasama dan membantu pelajar untuk membangunkan lagi taman mini ini. Agensi juga sedia untuk mengajar teknik tanaman lain bersesuaian dengan kawasan,” katanya.

Pada Oktober, ketika membaca teks ucapan Dato’ Menteri Besar, EXCO alam sekitar berkata Selangor memberi tumpuan penuh kepada lima sektor bagi menyokong pembangunan lestari serta pelaksanaan SDG menjelang 2035.

Jamaliah Jamaluddin berkata penekanan terhadap sektor daya tahan dan pengurusan bencana, negeri rendah karbon, biodiversiti dan sumber asli, pengurusan air serta sisa.


Pengarang :