Pemangku Datuk Bandar Shah Alam Ir Cheremi Tarman melepaskan peserta larian santai sempena Program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan Shah Alam di tempat letak kereta hadapan Wisma MBSA Seksyen 14, Shah Alam pada 14 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

MBSA sasar kutipan cukai RM530 juta tahun ini

SHAH ALAM, 14 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyasarkan kutipan cukai pada tahun ini RM530 juta, kata pemangku datuk bandar.

Cheremi Tarman berkata sasaran kutipan itu meningkat berbanding tahun lalu RM505 juta dan ia merangkumi hasil cukai taksiran dan lain-lain.

“Jumlah kutipan cukai disasar meningkat berikutan tahun lalu berjaya mengutip 96 peratus dengan nilai RM310 juta.

“MBSA berharap pembayar cukai dapat menjalankan tanggungjawab dengan membayarnya mengikut waktu ditetapkan kerana pelbagai hadiah ditawarkan,” katanya ditemui selepas majlis pelepasan peserta Program Shah Alam Tanpa Kenderaan di sini, hari ini.

Pelbagai aktiviti disediakan dalam Program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan di tempat letak kereta hadapan Wisma MBSA Seksyen 14, Shah Alam pada 14 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sementara itu, beliau turut memaklumkan MBSA terus menaik taraf infrastruktur awam demi keselesaan masyarakat.

“MBSA ke arah sambutan jubli perak pada tahun depan dan oleh itu kita berusaha menaik taraf kemudahan awam.

“Selain infrastruktur dan jalan raya, MBSA juga giat menaik taraf sistem aliran trafik dan merancakkan program landskap,” katanya.

Untuk rekod, MBSA dinaik taraf daripada perbandaran pada 10 Oktober 2000. Selain MBSA, dua lagi pihak berkuasa tempatan di Selangor berstatus bandar raya ialah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).


Pengarang :