Bukit Broga, Hulu Langat
BERITA UTAMABUDAYARENCANA

Hayati keindahan alam di sebalik cabaran mendaki di Selangor

Oleh TOURISM SELANGOR

Selangor sebuah negeri di Malaysia yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi, menawarkan pelbagai khazanah tersembunyi. Dengan pelbagai kawasan untuk mendaki, pengunjung berpeluang menyaksikan keindahan ekopelancongan di negeri ini.

Anda dipelawa menerokai enam kawasan untuk aktiviti mendaki yang terbaik di Selangor yang diluluskan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor. Laluan ini menjanjikan pengalaman mendaki yang tidak dapat dilupakan dengan keindahan geologi dan landskap yang subur.

Gunung Nuang, Hulu Langat

Gunung Nuang, Hulu Langat

Hulu Langat yang terkenal dengan keindahan alam semula jadinya, menyimpan banyak permata tersembunyi untuk dinikmati pelancong yang ingin melarikan diri daripada kesibukan bandar.

Berketinggian kira-kira 1,439 meter, Gunung Nuang adalah puncak yang tertinggi di Selangor. Gunung ini merupakan antara tapak pendakian yang digemari oleh ramai pendaki dan antara salah satu geotapak di bawah Gombak Hulu Langat Geopark.

Perjalanan mendaki Gunung Nuang akan membawa anda melalui hutan yang subur, air terjun dan pelbagai
kehidupan flora dan fauna.

Bukit Kutu, Hulu Selangor

Bukit Kutu, Hulu Selangor

Bukit Kutu merupakan sebuah kawasan yang bersejarah dengan laluan mendaki sepanjang 6.5 km. Laluan Bukit Kutu akan membawa anda melalui pelbagai hutan tebal dan juga laluan sungai.

Aktiviti pendakian di sini akan memakan masa selama 2 hingga 3 jam untuk sampai ke puncak yang setinggi 1,053 meter.

Antara keunikan Bukit Kutu ialah runtuhan peninggalan stesen pemantauan tentera British yang pernah wujud di atas bukit ini, mengimbau kembali sejarah dan masa lalu Selangor.

Dari puncak Bukit Kutu, anda boleh menikmati pemandangan bukit, hutan dan lembah di sekitarnya. Kepada semua pendaki yang merancang untuk mendaki di Bukit Kutu, sila dapatkan permit dari Pejabat Hutan Daerah.

Bukit Batu Pahat, Hulu Selangor

Bukit Batu Pahat, Hulu Selangor

Terletak berhampiran dengan Kuala Kubu Bharu, Bukit Batu Pahat ialah kawasan pendakian yang popular di Hulu Selangor dan tidak memerlukan permit atau bayaran, dengan kawasan parkir yang tersedia di Taman Tasik Millenium untuk pengembara.

Berketinggian 426 meter dari paras laut, secara purata ia mengambil masa 1 hingga 2 jam untuk sampai ke puncak. Bukan sahaja tempat mendaki ini sangat digemari dalam kalangan pendaki, tetapi ia juga merupakan tempat berlepas untuk aktiviti paragliding.

Anda berpeluang untuk menyaksikan sebilangan paraglider melakukan aktiviti paragliding di puncak Bukit Batu Pahat. Mereka yang berminat untuk melakukan aktiviti paragliding di Bukit Batu Pahat boleh membuat tempahan melalui Taman Paragliding KKB (cloudbase).

Bukit Jugra, Kuala Langat

Bukit Jugra, Kuala Langat

Pada tahun 1800-an, Bukit Jugra merupakan Ibu Kota Diraja Selangor dan ia kekal menjadi tempat yang dikunjungi ramai hingga ke hari ini.

Bukit Jugra yang berketinggian kira-kira 3.7 kilometer, ini ialah salah satu laluan mendaki yang agak mencabar untuk pendaki yang kurang mahir. Kawasan di sekitar Bukit Jugra juga dikelilingi dengan Hutan Simpan kekal.

Dari rumah api, anda juga boleh melihat Selat Melaka. Untuk para pendaki yang ingin mendaki di sini, anda dinasihatkan untuk memulakan aktiviti pendakian berhampiran dengan Masjid Al-Muttaqin di Kampung Permatang Pasir.

Aktiviti mendaki di sini mengambil masa kira-kira 1 hingga 1.5 jam untuk sampai ke puncak bukit. Bagi sesiapa yang berminat untuk mengetahui peninggalan sejarah di Bukit Jugra, anda juga boleh berkunjung ke
Istana Bandar Jugra, Muzium Insitu Jugra dan Masjid Sultan Alaeddin.

Bukit Broga, Hulu Langat

Mengambil masa 1 jam pemanduan dari Kuala Lumpur, Bukit Broga ialah tapak pendakian yang digemari oleh para pendaki dan merupakan tempat yang sesuai dikunjungi untuk aktiviti bersama rakan-rakan dan keluarga. Para pendaki boleh menikmati pemandangan yang indah dari puncak Bukit Broga yang setinggi 400 meter.

Dikelilingi oleh rumput-rumput menghijau yang panjang, kebanyakan pendaki yang mendaki di sini akan memulakan aktiviti pendakian di awal pagi untuk menyaksikan matahari terbit di puncak Broga.

Taman Eko Rimba Kanching, Gombak

Taman Eko Rimba Kanching, Gombak

Taman Eko Rimba Kanching adalah sebuah Hutan Lipur dengan air terjun yang indah dan terletak di bawah Rawang Bypass. Dengan 7 air terjun bertingkat dan dikelilingi hutan lipur berketinggian 208 meter, menjadikan kawasan pendakian ini antara yang mencabar untuk para pendaki dengan laluan yang curam dan licin.

Terletak di kawasan pinggir bandar, destinasi pelancongan yang popular ini dikendalikan Tourism Selangor dengan bayaran masuk dari RM 2 hingga RM 8 dan kawasan meletakkan kenderaan dengan harga RM 5 dikenakan kepada pengunjung.


Pengarang :