Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 di Dewan Jubli Perak, Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 15 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Penjawat awam perlu pantas beri maklum balas, bersedia 24 jam

SHAH ALAM, 15 JAN: Penjawat awam perlu pantas memberi maklum balas terhadap sebarang isu terutama yang tular di media sosial, menurut Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keputusan juga perlu dibuat segera mengikut situasi memandangkan perjalanan pentadbiran negeri sering menjadi perhatian banyak pihak.

“Kita seperti rumah kaca. Setiap tindak tanduk, perbuatan dan tingkah laku perlu kita perjelaskan dan terangkan. Kadangkala perlu ambil keputusan segera.

“Dua hari lepas tular berkenaan Kuil Subramanian di Batu, Caves yang berhampiran lokasi sambutan Thaipusam. Saya sedar hal itu malam tadi dan terus respon di X (aplikasi). Jadi peringkat jabatan juga kena begitu.

“Jadi semua kena bersedia. Kalau tahu malam, sediakan (maklum balas) awal untuk waktu pagi. Kalau boleh jawab malam itu juga, segerakan sebab orang tak tunggu,” katanya ketika berucap di Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama penjawat awam selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 di Dewan Jubli Perak, Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 15 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Amirudin berkata sebagai negeri yang menyediakan banyak perkhidmatan aplikasi pintar berasaskan pendigitalan, semua pihak perlu bersedia 24 jam bagi mengatasi masalah dalam tempoh singkat.

Jelasnya, meskipun perkara itu berbeza daripada norma penjawat awam, namun ia harus dilaksanakan sekali gus memenuhi keperluan dan kehendak masyarakat.

“Penjawat awam perlu melakukan langkah pembaharuan dan perubahan bersesuaian dengan kehendak semasa dan peredaran zaman. Kita sediakan sistem 24 jam tapi sumber manusia tujuh, lapan jam.

“Saya faham ada ruang kerja dari 8 pagi hingga 4.30 petang, 9 pagi hingga 5.30 petang. Saya faham itu peraturan sedia ada tetapi situasi sekarang suntuk, setiap perkara mahu disebar.

“Ketua jabatan kalau bercuti atau ada kekangan, perlu ada yang tanggung tugas. Saya tak nak ada alasan waktu kerja dah habis. Maaf, ini bukan masanya. Kita kena bersedia untuk pastikan semua dipenuhi dan dipatuhi.

“Ada yang kerja waktu malam, ada juga yang berehat tapi tetap kena bersedia kalau dipanggil datang atau sampaikan taklimat atau penyelarasan,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membaca Ikrar Perkhidmatan Awam sempena Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 di Dewan Jubli Perak, Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 15 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pada 31 Julai tahun lalu, Amirudin membentangkan tawaran lima tahun negeri gemilang menerusi Kerajaan Perpaduan yang memuatkan pelbagai bentuk bantuan dan perancangan bagi membangunkan negeri demi keselesaan rakyat.

Salah satu kandungan manifesto Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad Untuk Lima Tahun adalah menyediakan perkhidmatan kerajaan yang cekap dan efisien.

Antara manfaat yang bakal dinikmati adalah pusat sehenti khas di setiap pihak berkuasa tempatan selain mengatasi isu kritikal dalam 24 jam dan urusan kerajaan menggunakan sistem digital sepenuhnya.


Pengarang :