Ahli Dewan Negeri Sentosa Dr G Gunaraj menyerahkan belanga dan makanan asas kepada masyarakat India memerlukan di tujuh lokasi sekitar DUN berkenaan pada 14 Januari 2024 sebagai persediaan menyambut pesta Ponggal. Foto Dr G Gunaraj
ADNSELANGOR

250 keluarga terima belanga, makanan asas sempena pesta Ponggal

SHAH ALAM, 15 JAN: Sebanyak 250 keluarga masyarakat India berpendapatan rendah dan memerlukan  sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa menerima belanga dan makanan asas bagi menyambut pesta Ponggal.

Wakil rakyatnya berkata periuk tanah dan barangan keperluan bagi memasak nasi manis yang sinonim dengan perayaan berkenaan diserahkan semalam kepada ibu dan bapa tunggal, golongan B40 dan orang kurang upaya (OKU).

Menurut Dr G Gunaraj, penyerahan bantuan dibuat di tujuh lokasi membabitkan Jalan Yusof Shahbudin, Jalan Hulubalang, Perdana Villa, Kampung Jawa, Menara Maju, Bukit Tinggi dan Desawan.

“Pesta Ponggal disambut oleh semua lapisan masyarakat India tanda kesyukuran kepada Tuhan, kehidupan dan alam semulajadi yang saling bergantung antara satu sama lain.

“Program seperti ini dianjurkan setiap tahun oleh Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sentosa bagi membantu golongan yang memerlukan,” katanya ketika dihubungi.

Ahli Dewan Negeri Sentosa Dr G Gunaraj menyerahkan belanga dan makanan asas kepada masyarakat India memerlukan di tujuh lokasi sekitar DUN berkenaan pada 14 Januari 2024 sebagai persediaan menyambut pesta Ponggal. Foto Dr G Gunaraj

Pesta Pongal merupakan perayaan semasa musim menuai yang diraikan secara meluas oleh masyarakat India dan bertujuan memberi rehat kepada pesawah dan ternakan.

Ponggal diraikan pada bulan ke-10 dalam kalendar Tamil dipanggil ‘Thai’ dan merupakan perayaan utama khususnya bagi komuniti petani.


Pengarang :