Penduduk mendapatkan barangan murah ketika Jualan Ehsan Rahmah DUN Meru di Masjid Al Falah Meru, Klang pada 15 Januari 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan murah PKPS kembali, sedia 1,500 ayam di tiga lokasi

KLANG, 15 JAN: Sebanyak 1,500 ekor ayam disedia di tiga lokasi Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang kembali menemui orang ramai hari ini selepas berehat dua minggu.

Pengurus Besar Sektor Perniagaan dan Pemasaran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata berkata jumlah itu lebih banyak berbanding 300 ekor setiap lokasi sebelum ini.

Pengurus Besar Sektor Perniagaan dan Pemasaran PKPS Rosnani Abd Malik

“Kita bercuti untuk penyelenggaraan bagi memastikan bekalan dan logistik lebih tersusun. Kembali menemui orang ramai, kita bawa 1,500 ekor ayam di tiga lokasi jualan murah.

“Bagi lima produk lain pula seperti biasa 300 telur, ikan, beras, daging manakala minyak masak 100 botol,” kata Rosnani Abd Malik pada program di Masjid al-Falah, Meru di sini.

Tambah beliau, PKPS juga giat mempromosi JER menerusi wakil rakyat selain hebahan di media sosial untuk makluman masyarakat.

Selain itu, katanya, PKPS juga mewajibkan semua produk jenama Ehsan dibawa ke setiap lokasi jualan murah.

“Contohnya hari ini, lebih 20 unit simpanan barang seperti sardin, sos, bihun, biskut dan kordial dibawa ke lokasi.

“Biarpun barang ini tiada subsidi tetapi harganya lebih murah berbanding di pasaran,” katanya.

Penduduk mendapatkan barangan murah ketika Jualan Ehsan Rahmah DUN Meru di Masjid Al Falah Meru pada 15 Januari 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM13).

Selain menganjurkan JER di lokasi terpilih setiap hari kecuali Jumaat dan cuti umum, PKPS turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Segi Fresh bagi memperluas capaian kepada penduduk setempat.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS


Pengarang :