DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Hajah Norashikin ketika berkenan melawat Pusat Kesenian dan Pertukangan Tangan Brunei pada 15 Januari 2024. Foto Facebook Selangor Royal Office
SELANGOR

Sultan, Tengku Permaisuri lawat pusat kraftangan Brunei

SHAH ALAM, 15 JAN: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor berkenan melawat ke Pusat Kesenian dan Pertukangan Tangan Brunei hari ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Hajah Norashikin melihat pelbagai produk kraftangan seperti kain songket, tekstil, batik, tembaga, anyaman, tembikar dan pelbagai jenis cenderamata.

“Baginda meluangkan masa hampir sejam dan turut berkenan dibawa ke ruangan interaktif dan demonstrasi,” tulis Selangor Royal Office menerusi Facebook.

Keberangkatan Baginda diiringi Tengku Indera Pahlawan Diraja Tengku Dato’ Setia Putra Alhaj dan Engku Maharaja Lela Setia Paduka Dato’ Syed Budriz Putra Jamalullail.

Terdahulu Baginda berdua berkenan menyantuni jemputan diraja ke Majlis Persantapan Diraja sempena istiadat perkahwinan Pengantin Diraja Brunei Pengiran Muda ‘Abdul Mateen Bolkiah bersama isteri Dayang Anisha Rosnah.

Istiadat bersanding mempelai pengantin diraja berlangsung di Istana Nurul Iman turut dihadiri Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Pemaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.


Pengarang :