Sesi persekolahan Sekolah Kebangsaan Sualok ditangguhkan apabila dinaiki air akibat limpahan Sungai Sualok di Beluran pada 15 Januari 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Mangsa bah di Johor berkurangan, Pahang, Sabah kekal takat petang ini

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Jumlah mangsa banjir di Johor menurun sedikit petang ini, manakala di Pahang dan Sabah kekal menjadikan jumlah terkini 568 orang berbanding 635 orang, tengah hari tadi.

Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), jumlah mangsa itu meliputi 274 orang berlindung di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah, 164 mangsa di empat PPS di Johor dan 130 mangsa di dua PPS di Pahang.

Di Sabah, 113 mangsa berlindung di tiga PPS yang beroperasi di daerah Beluran dan 161 mangsa ditempatkan di sebuah PPS di Sandakan manakala di Pahang, kesemua 130 mangsa berlindung di dua PPS di Rompin.

Jumlah mangsa banjir di Johor pula merekodkan 86 orang di sebuah PPS di Kota Tinggi, 63 orang di dua PPS di Segamat dan 15 orang di sebuah PPS di Batu Pahat.

Bagi insiden kebakaran di Sabah dan Sarawak, jumlah mangsa kekal 47 orang daripada 12 keluarga berlindung di sebuah PPS di Tawau, Sabah dan 38 mangsa daripada 12 keluarga di sebuah PPS di Kuching, Sarawak.

Sementara itu, tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa lokaliti sungai di Johor, Pahang dan Perlis berada pada paras bahaya petang ini.

Di Johor, sungai terlibat ialah Sungai Endau di Kluang, Sungai Johor di Kota Tinggi, dan Sungai Muar di Segamat, manakala di Pahang membabitkan Sungai Pahang di Pekan, Bera, Maran serta Sungai Rompin serta Sungai Arau di Perlis.

Nadma turut memaklumkan terdapat 43 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak dan tanah runtuh antaranya Jalan Durian Mentangau di Dungun, Terengganu, Jalan Kota Tinggi–Kluang di Kota Tinggi, Johor, di Pahang membabitkan Lebuhraya Kuantan-Segamat (Lebuhraya Tun Razak).

– BERNAMA


Pengarang :