Pengamal media menaiki bas pelancongan dua tingkat Hop On Hop Off (HOHO) pada program lawatan suai kenal media: HOHO di sekitar Sepang pada 16 Januari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Bas pelancong dua tingkat di Sepang dapat sambutan, diperluas ke daerah lain

SEPANG, 16 JAN: Perkhidmatan bas pelancongan dua tingkat Hop-On Hop-Off (HOHO) yang diperkenal Tourism Selangor menarik kira-kira 1,500 pelancong sejak dilancarkan Jun tahun lalu.

Pengurus pembangungan perniagaan dan pemasaran Tourism Selangor Promosi Sdn Bhd berkata setakat ini perkhidmatan berkenaan beroperasi setiap Sabtu dan Ahad di 10 destinasi sekitar Sepang.

Cheong Ei Leen berkata pihaknya merancang untuk menambah bilangan bas bergantung kepada pelabur dan seterusnya mengembangkan perkhidmatan pelancongan itu ke daerah lain.

Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Pemasaran Tourism Selangor Promosi Sdn Bhd Cheong Ei Leen. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Sasaran pasaran kita antaranya adalah pelancong luar negara yang transit di negara ini dan mahu mengisi masa menunggu mereka dengan aktiviti lawatan jangka masa pendek.

“Pelbagai usaha dilakukan untuk terus mempromosi dan memperkenalkan HOHO termasuk menerusi hebahan media sosial, kerjasama pempengaruh, media dan rakan kerjasama lain,” katanya ditemui pada program lawatan suai kenal media: HOHO di Sepang semalam.

Pengamal media yang menyertai program lawatan suai kenal media: HOHO di Tamarind Square, Cyberjaya, Sepang pada 16 Januari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Ei Leen berkata promosi tiket dewasa HOHO yang dilaksana sejak Disember lalu diteruskan tahun ini sempena sambutan Tahun Baru Cina dan cuti sekolah.

“Harga promosi ditawarkan bagi tiket dewasa warganegara adalah RM25 untuk perjalanan sehari, sama harga dengan tiket kanak-kanak, warga emas dan pelajar IPTA/IPTS. Manakala bukan warganegara kekal RM55 bagi dewasa, kanak-kanak, warga emas dan pelajar antarabangsa (RM45).

“Promosi sedang berlangsung sehingga satu tarikh yang akan diumumkan kelak jadi mereka yang berminat boleh gunakan peluang ini dan dapatkan tiket pada harga yang murah berbanding biasa,” katanya.

Pengamal media dibawa menaiki bas pelancongan dua tingkat Hop On Hop Off (HOHO) pada program lawatan suai kenal media: HOHO di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang pada 16 Januari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Harga asal tiket dewasa warganegara adalah RM35, kanak-kanak, warga emas dan pelajar IPTA/IPTS (RM25), bukan warganegara dewasa (RM55), kanak-kanak, warga emas dan pelajar antarabangsa (RM45).

Setiap Sabtu laluan HOHO melibatkan stesen MRT Stadium Kajang, Xiamen University Malaysia, Mitsui Outlet Park, Litar Antarabangsa Sepang (SIC), HL Dragon Fruit Eco Farm, Avani Sepang, Pekan Sungai Pelek, IOI City Mall (Symphony 3), Farm Fresh@UPM dan Sama-Sama Hotel KLIA.

Pada Ahad laluan melibatkan MRT Stadium Kajang, IOI City Mall (Symphony 3), Xiamen University Malaysia, BBST Walk, Sama-Sama Hotel KLIA, Litar Antarabangsa Sepang (SIC), HL Dragon Fruit Eco Farm, Jeti Sirip Biru dan Pekan Sungai Pelek.

Orang ramai boleh membuat pembelian tiket melalui www.hohoselangor.com atau www.selangor.travel dan aplikasi Go Selangor. Ia juga boleh dibeli secara terus dari lokasi berlepas di sepanjang lingkaran perjalanan.

Dilancarkan Jun tahun lalu, HOHO memberi pengalaman kepada pelancong menaiki bas tanpa bumbung dengan hentian di beberapa lokasi tarikan pelancongan termasuklah ladang buah naga dengan replika buah naga terbesar di Malaysia setinggi bangunan tiga tingkat.


Pengarang :