AGENDANASIONAL

Maklumat Padu bantu jejak rakyat layak terima bantuan bersasar

KUALA SELANGOR, 19 JAN: Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) mampu mengesan rakyat layak menerima bantuan bersasar khususnya individu terjejas susulan kenaikan tarif air mulai Februari ini.

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata sistem berkenaan dicipta bagi memastikan subsidi atau bantuan kerajaan dapat diberikan secara efektif.

“Tarif air itu telah dibincangkan ketua menteri, menteri besar dan perdana menteri, dan mereka telah capai kata sepakat. Kerajaan sedang kemas kini data secara komprehensif iaitu melalui Padu.

“Kita harap sistem ini dapat mengesan rakyat yang betul-betul memerlukan bantuan subsidi. Saya harap lebih ramai dapat mendaftar supaya bantuan itu dapat diberikan secara efektif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya apakah bantuan kepada rakyat terjejas susulan kenaikan tarif air dengan purata 22 sen setiap meter padu kepada pengguna domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan mulai 1 Februari.

Penyelaras DUN Permatang Yahya Mat Sahri menyampaikan cenderamata kepada Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin sempena majlis jalinan Mesra Pusat Khidmat Rakyat Dun Permatang bersama penjawat awam di De Palma Resort, Kuala Selangor pada 19 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Terdahulu, Shamsul Iskandar menghadiri Majlis Jalinan Mesra Pusat Khidmat Rakyat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang bersama penjawat awam di Hotel De Palma di sini.

Dalam ucapannyam beliau memaklumkan seramai 1.8 juta warganegara sudah mendaftar dalam sistem Padu sejak pendaftarannya dibuka bermula 2 Januari lalu.

Beliau menyasarkan lebih tujuh juta rakyat akan mendaftar dalam sistem pangkalan data baharu tersebut menjelang Mac depan.

“Kalau tiada usaha ini (sistem Padu), kita akan menggemukkan lagi perbelanjaan negara dan bantuan juga tidak dapat diberikan secara berkesan. Masalah ini berpunca daripada legasi lalu,” katanya.

Sistem Padu terbuka kepada semua warganegara berumur 18 tahun ke atas dan pendaftarannya boleh dibuat sehingga 31 Mac hadapan menerusi pautan https://www.padu.gov.my/

Ia membolehkan orang ramai mengemas kini maklumat peribadi bagi membantu kerajaan menyedia gambaran sebenar mengenai kedudukan sosio ekonomi setiap isi rumah rakyat Malaysia.


Pengarang :