Pegawai Eksekutif Program Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham) John Fernandez bergambar dengan peserta selepas menyampaikan sijil kursus Program bBmbingan Perniagaan (Grow) di Pusat Menjahit Sai Rani, Seri Kembangan pada 20 Januari 2024. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kursus usahawan negeri bina keyakinan golongan B40, ibu tunggal berniaga

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

PETALING, 20 JAN: Seramai 10 peserta terdiri golongan B40 dan ibu tunggal berjaya menamatkan kursus keusahawanan bidang jahitan selama enam bulan di bawah program bimbingan perniagaan (Grow).

Pegawai eksekutif Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham) berkata sejumlah RM30,000 diperuntuk untuk melaksanakan program itu selain bantuan peralatan kepada peserta selepas tamat kursus.

“Program ini antara usaha yang dilaksanakan melalui Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah). Program ini bukan sekadar kursus kemahiran sama-mata, kita juga berikan mereka motivasi bagaimana untuk berjaya dalam perniagaan.

Peserta Program Bimbingan Perniagaan (Grow) P Suguna. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI

“Kita berharap peserta memanfaatkan sepenuhnya peluang ini, ubah kehidupan diri serta keluarga. Praktikkan apa yang telah dipelajari,” kata John Fernandez ditemui pemberita selepas majlis penutup kursus program Grow di Pusat Menjahit Sai Rani di sini hari ini.

Sementara itu, peserta P Suguna, 39, berkata program Grow memberi keyakinan kepada dirinya untuk membuka kedai jahitan sendiri.

“Bermula hanya sebagai hobi dan menjahit untuk suka-suka, siapa sangka kini saya bakal mempunyai perniagaan sendiri. Impian saya selami ini menjadi kenyataan.

“Sepanjang kursus, kami bukan sahaja diajar mengenai kemahiran menjahit, tetapi didedahkan dengan pelbagai perkongsian dari mereka yang terlah berjaya,” katanya.

Peserta Program Bimbingan Perniagaan (Grow) R Kunnasunthary. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI

Bagi ibu tunggal yang mempunyai empat orang anak, P Rajes, 44, berkata dia kini boleh menjana pendapatan dengan menjual seluar kasual wanita selain bekerja sebagai pembantu klinik.

“Tanpa bimbingan guru jahitan dan Sitham, saya tidak mungkin berani untuk menjual pakaian atau menjahit untuk mendapatkan pendapatan sampingan,” katanya.

Seorang suri rumah, R Kunnasunthary,40, berkata dia kini sudah membuka perniagaan kecil-kecilan meminda dan menjahit pakaian di rumahnya.

Peserta Program Bimbingan Perniagaan (Grow) P Rajes. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI

“Kini saya mempunyai ruang khusus menjahit di rumah dan mengalu-alukan kedatangan pelanggan yang ingin mendapatkan perkhidmatan meminda pakaian mereka,” katanya.

Sitham dilancarkan pada September 2019 memfokuskan usahawan India yang komited memajukan perniagaan dengan diberi bimbingan, geran dan peralatan perniagaan.

Empat program keusahawanan ditawarkan iaitu latihan pembangunan usahawan, kursus kemahiran dan pembuatan, Program Bimbingan Perniagaan (Grow) serta program bantuan peralatan perniagaan.

 


Pengarang :