Mangsa banjir mendapatkan bekalan ubat yang disediakan Pejabat Kesihatan Sandakan di Pusat Pemindahan Sementara Masjid Nur Iman, Sungai Memanjang, Sandakan pada 16 Januari 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Mangsa banjir di Sarawak meningkat, Johor kekal pagi ini

KUALA LUMPUR, 21 JAN: Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sarawak meningkat sedikit kepada 459 orang pagi ini berbanding 444 orang, malam tadi.

Berdasarkan laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), dua PPS di Betong menempatkan 404 orang daripada 120 keluarga manakala di Bintulu, sebuah PPS menempatkan 55 orang daripada 27 keluarga.

Mangsa banjir di Johor pula kekal 65 orang daripada 19 keluarga yang berlindung di dua PPS di Segamat.

Tinjauan situasi di Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai berada pada paras bahaya iaitu Sungai Johor (Kota Tinggi, Johor), Sungai Kedah (Kota Setar, Kedah), Sungai Arau (Arau, Perlis) dan Sungai Terengganu (Hulu Terengganu, Terengganu).

Menurut Nadma, 18 jalan ditutup akibat banjir, jambatan rosak dan tanah runtuh antaranya Jalan Raya Timur Barat di Hulu Perak, Perak; Jalan Bukit Besi-Dungun di Dungun, Terenganu dan Jalan Bukit Jugra di Kuala Langat, Selangor.

– BERNAMA


Pengarang :