EXCO Pertanian Ir Izham Hashim (dua, kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi (dua, kiri) melihat jagung yang dituai pada Majlis Penuaian Jagung Bijirin Komersial PKPS di Ladang Kuala Langat Selatan, Kuala Langat pada 21 Januari 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri tuai 118 tan hasil pertama jagung bijirin, usaha stabilkan harga ayam

KUALA LANGAT, 21 JAN: Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) hari ini menuai 118 tan hasil pertama jagung bijirin berkualiti tinggi mula ditanam tahun lalu.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata tuaian pertama itu melibatkan kawasan seluas 16.9 hektar daripada keseluruhan 121 hektar ladang di Kuala Langat Selatan di sini.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim ketika sidang media Majlis Penuaian Jagung Bijirin Komersial PKPS di Ladang Kuala Langat Selatan, Kuala Langat pada 21 Januari 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Julung kali dalam sejarah, Selangor tanam jagung bijirin di tanah gambut dan inilah hasil daripada Pelan Transformasi Agro Selangor dengan kerjasama PKPS yang meletakkan penanaman ini sebagai agenda penting kerana menjadi bahan utama dalam makanan ayam.

“Justeru, untuk tuaian fasa pertama ini sebanyak 118 tan hasil diperoleh dengan kos kira-kira RM970 setiap tan berbanding harga import sejumlah RM1,200 per tan (tidak termasuk pengangkutan),” katanya.

Ditemui selepas Majlis Tuaian Pertama Jagung Bijirin Komersial PKPS di ladang berkenaan, Izham berkata tuaian tanaman itu merupakan langkah pertama bagi mencapai objektif program intervensi kerajaan yang mahu menstabilkan harga ayam di Selangor.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi memetik jagung ketika Majlis Penuaian Jagung Bijirin Komersial PKPS di Ladang Kuala Langat Selatan, Kuala Langat pada 21 Januari 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Pengurangan kebergantungan kepada import ini sudah pasti akan memberi dampak positif pada rantaian bekalan seperti menurunkan kos dedak dan harga jualan ayam khususnya yang dijual PKPS,” katanya.

Izham berkata PKPS turut bercadang memperluaskan tanaman berkenaan selain melihat potensi tanah yang ada di dalam dan luar Selangor.

“Tanaman ini mempunyai permintaan yang tinggi, jagung (bijirin) kita masih di pokok sudah ada permintaan, lagipun hasil tanaman jagung di Malaysia tidak sampai pun tiga peratus,” katanya.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim (empat, kiri) mencuba alat pengesan kelembapan jagung ketika Majlis Penuaian Jagung Bijirin Komersial PKPS di Ladang Kuala Langat Selatan, Kuala Langat pada 21 Januari 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pengarang :