KUALA LANGAT, 21 JAN: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) merancang memulakan fasa kedua penanaman jagung bijirin di ladang Kuala Langat Selatan mulai Mac depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata pelaksanaan projek yang menelan belanja RM4 juta itu merangkumi empat fasa utama.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/01/3-23-500x351.jpg.webp)
“Empat fasa tersebut adalah fasa pembersihan dan pembinaan infra, fasa penanaman, fasa penjagaan dan pembesaran pokok manakala akhir sekali fasa tuaian dalam tempoh 100 hingga 115 hari bagi setiap kitaran,” katanya.
Ditemui pada Majlis Tuaian Pertama Jagung Bijirin Komersial PKPS di ladang Kuala Langat Selatan di sini, Khairil mengalu-alukan kerjasama strategik dengan mana-mana pihak yang berminat menceburi penanaman jagung bijirin.
“Kita beriltizam untuk menambah lagi pengeluaran jagung bijirin khususnya di Selangor dan menawarkan kepakaran teknikal sedia ada untuk kerjasama secara komersial.
“Justeru, dengan adanya mesin pengeringan dan penguraian selain tempat penyimpanan yang mampu menampung kapasiti 200 tan jagung bijirin. Insya-Allah selepas ini PKPS akan membuka pusat pengumpulan jagung bijirin di Selangor,” katanya.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/01/5-24-e1705824970484-500x402.jpg)
Terdahulu, EXCO Pertanian Ir Izham Hashim meninjau dan merasmikan hasil pertama 118 tan jagung bijirin berkualiti tinggi melibatkan kawasan seluas 16.9 hektar daripada keseluruhan keluasan ladang 121 hektar di Kuala Langat Selatan di sini.
Projek julung kali Kerajaan Selangor melalui PKPS bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada import makanan ayam sekali gus mengurangkan atau menstabilkan harga ayam di negeri ini.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/01/7-19-500x333.jpg.webp)